SUHAIMI.
Cik Pang

Sejak Suhaimi Saad menjadi bualan hangat netizen berikutan dakwaan tidak hantar anak-anak ke sekolah, dia seakan-akan seronok dengan perhatian diberikan.

Berderet-deret status seperti memperli pihak tertentu dimuat naik Suhaimi di akaun media sosial peribadinya sejak kebelakangan ini.

Bukan itu saja, dia juga menggunakan alasan sistem pendidikan negara punca enggan menghantar anaknya ke sekolah.

Kasihan juga Cik Pang mengenang masa depan empat anaknya. Bagaimana mereka mencari kerja sekiranya tiada pendidikan asas.

Lebih mengejutkan, dalam status terbabit, bekas anggota Inteam ini menulis isterinya bukan seperti ‘mak cik kantin’ kerana kononnya tidak pandai bahasa Inggeris dan Arab.

Kenyataan terbabit umpama menghina pekerja kantin dan seakan-akan tidak menghormati isterinya.

Barangkali, Suhaimi buat status sedemikian dengan niat mahu perli netizen yang mengecamnya.

Namun, pada pendapat Cik Pang, penulisan Suhaimi menggambarkan ketidakmatangan dirinya. Malah dia seolah-olah menulis mengikut perasaan.

Status itu juga dianggap makan diri kerana secara tidak langsung mengaibkan diri sendiri dan keluarganya.

Bagi Cik Pang, ada cara mudah dan berkesan kalau tidak suka dengan kritikan netizen iaitu jangan tunjuk kekurangan diri di media sosial.

Sebagai orang yang dikenali, kenalah tapis dulu apa yang mahu dikongsi dan biarlah yang wajar saja. Mana yang mengundang kontroversi dan pertikaian orang ramai, baik elakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 11:01 AM