Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


WALAUPUN tanpa kehadiran Ahmad Dhani, 'semangat' pemuzik sejati itu terus berkumandang di pentas Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Segmen nyanyian lagu medley Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali oleh Ari Lasso ternyata membuatkan 7,000 penonton yang memenuhi ruang stadium sebak.

Bukan hanya nyanyian, turut dipertontonkan di layar raksasa adalah video ucapan dari Dhani yang memohon doa daripada peminat-peminatnya.

“Kepada peminat-peminat di Malaysia, saya mohon supaya sentiasa mendoakan saya supaya terus kuat,” katanya menerusi rakaman video.

Turut mencuri tumpuan apabila persembahan lagu medley itu diiringi petikan keyboard yang dimainkan oleh anak Dhani sendiri, Dul Jaelani yang dilihat menitiskan air mata.

Selain Ari, Once yang juga bekas vokalis Dewa 19 itu turut membuat persembahan dengan menyampaikan 12 lagu hit ketika zamannya bersama band itu serta beberapa lagu duet bersama.

Tidak hanya Dewa 19, peminat juga dihiburkan dengan persembahan hebat oleh band Andra and the Backbone yang menyampaikan sembilan lagu popular mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 12:36 AM
AKSI Once pada konsert berkenaan. FOTO Supian Ahmad