HAIL Amir tampil bertenaga dalam Konsert Retro bersama Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya. FOTO Saddam Yusoff
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENYANYI dan pelakon popular era 1970-an, Hail Amir gembira dapat menghiburkan peminatnya dalam Konsert Retro Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) semalam dan hari ini.

Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir, 64, berkata, paling mengujakan apabila tahap kesihatannya berada pada tahap memuaskan tanpa sebarang masalah.

"Ini kali pertama saya beraksi di IB dan amat teruja. Apatah lagi dapat menyanyi dengan orkestra.

"Alhamdulillah, tahap kesihatan saya juga baik untuk menyanyi berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini saya ada masalah jantung tapi setakat ini baik dan bersyukur kerana kehidupan kembali normal seperti dulu," katanya kepada Harian Metro.

Pada Mac 2018, penyanyi popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu dikejarkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas mengadu sakit dada dan ditahan di wad dipercayai akibat masalah jantung.

Dia seterusnya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan doktor menemui tiga sekatan dalam saluran jantungnya.

Hail bagaimanapun tidak menjalani sebarang pembedahan dan dibenarkan pulang selepas seminggu berada di wad.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan baru-baru ini memperlihatkan penyakit jantungnya beransur pulih.

"Saya rasa masalah ini dah tiada. Cuma saya nak buat pemeriksaan lagi untuk dapatkan pengesahan tepat daripada doktor.

"Cuma, buat masa ini saya perlu makan ubat untuk cairkan darah serta dapatkan rawatan pengamal perubatan dari China yang membuka klinik di Melaka.

"Rawatan yang dijalankan selama lima kali ternyata agak berkesan," katanya.

Hail berkata, aktiviti nyanyiannya kini kembali rancak dan dia tidak duduk diam memenuhi tawaran mengadakan persembahan.

"Saya dah buat persembahan di Sandakan, Johor Bahru, Perlis dan banyak lagi lokasi.

"Bahkan undangan menyanyi untuk Hari Raya Aidilfitri pun dah diterima.

"Saya tak mempunyai masalah mengingati lirik lagu kerana ia ibarat 'makanan'," katanya.

Selain Hail, Konsert Retro Bersama OTM turut menampilkan pasangan duetnya iaitu Uji Rashid serta Dayangku Intan dan Jay Jay.

Tidak ketinggalan, beberapa artis muda seperti Asmidar dan Lan Solo turut memeriahkan konsert itu.

Ia menggabungkan empat segmen iaitu Kenangan Malar Segar, Mekar Sejambak, Tribute dan Hit Duet Retro 70' vs 80'.

Antara lagu yang ditampilkan ialah Ku Ingin Selalu Di Sampingmu, Semakin Hari Semakin Sayang, Kau Datang Lagi, Wajah Kesayangan Hamba dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 5:42 PM