NABILA Huda enggan diganggu apabila fokus bekerja. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Nabila Huda
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


INGIN memberi fokus terhadap latihan teater muzikal Ola Bola The Muzikal, pelakon Nabila Huda sempat meninggalkan pesanan di Insta story, Instagram miliknya, pagi tadi.

Menurut pelakon itu, selama dua bulan ini dia tidak mahu ada yang menghubunginya atau menghantar WhatsApp semata-mata hendak mengajaknya berjumpa atau menghadiri mana-mana majlis.

“Saya tidak berminat. Memang ‘bad habit’ saya kalau tengah kerja atau fokus sesuatu takkan jawab panggilan, telefon dalam mood senyap, WhatsApp pun akan balas ikut mood sebab sedang beri tumpuan sepenuhnya untuk Ola Bola Muzikal sampai Mac.

“Kecuali saya tengah bosan dan cuba untuk tahan kemarahan sebab tak makan, saya akan tengok telefon,” tulisnya.

Tulisnya, keadaannya kini sukar dijangka. Apatah lagi dia juga sedang mengamalkan diet di mana sejak tengah hari, malam dan tengah malam dia tidak makan apa-apa.

“Bila tengah diet, memang saya mudah marah apatah lagi hendak balas mesej atau jumpa orang untuk bersosial.

“Kalau saya sendiri yang hendak jumpa itu kiranya mood tengah ok. Otak saya memang dah set untuk jumpa dengan orang yang sama untuk dua bulan ini,” tulisnya.

Teater Ola Bola The Musical bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 18 Februari ini.

Selain Nabila, teater muzikal arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu turut menampilkan pelakon seperti Tony Eusoff, Hafeez Mikail, Iedil Putra, Brian Chan, Luqman Hafidz, Douglas Lim, Altimet dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 4:30 PM