ANDI Bernadee (kanan) setuju dengan artis seperti Linda Rafar (kiri) ambil tindakan terhadap netizen. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI Andi Bernadee, 28, bersetuju tindakan undang-undang dikenakan terhadap netizen yang suka menulis kecaman terhadap artis tanpa usul periksa adalah perlu.

Andi berkata, ia bagi menjadi kesedaran dan pengajaran kepada netizen lain supaya tidak mudah mengeluarkan kenyataan di media sosial mengenai seseorang artis.

“Kecaman daripada netizen kepada artis sudah lama berlaku dan dibiarkan. Ada dalam kalangan mereka adalah isteri orang, suami orang, bahkan masih bersekolah.

“Apabila dibiarkan, netizen menganggap bahawa mereka boleh menulis apa saja di media sosial mengenai orang lain tanpa menghiraukan kesannya,” katanya.


NABILA Razali (kiri) dan Wany Hasrita (kanan) tidak terlalu fikirkan kecaman netizen. FOTO Arkib NSTP

Bagi penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 27, pula, dia sudah lali dengan kecaman netizen.

“Sejak hari pertama melangkah masuk ke dalam industri hiburan, saya sentiasa menerima kecaman daripada netizen,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Vroom Vroom itu, ada juga kecaman yang diterimanya mengganggu emosi.

“Namun, kebanyakannya hanya mengecam mengenai lagu yang saya keluarkan. Saya tak tutup ruangan komen sebab nak lihat sendiri pendapat mereka yang boleh digunakan untuk memperbaiki apa yang kurang,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Wany Hasrita, 28, berkata dia tidak menafikan fikirannya terganggu di peringkat awal melangkah ke dalam industri hiburan.

“Sebagai manusia, kita tak boleh mengelak daripada berfikir lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang mengecam dan menghentam.

“Saya sampai berfikir, bagaimana caranya untuk puaskan hati semua orang,” katanya.

Namun, perlahan-lahan dia cuba menyibukkan diri supaya tidak terlalu memikirkan mengenai kecaman netizen itu.

“Saya sibukkan diri dan fokus dengan kerja supaya tidak ‘serabut’ dengan kecaman netizen. Ini adalah cara terbaik yang saya buat,” katanya.

Berita berkaitan'Kes Linda buka mata artis balas netizen'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:22 PM