AHMAD Dhani (dua dari kiri) bersama anggota Dewa 19. FOTO Cak Frog & Fraudy Yunanto
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENGANJUR Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia feat Ari Lasso dan Once Mekel memberi jaminan konsert berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini, akan diteruskan walaupun ketua kumpulan, pemain keyboard dan penyanyinya, Ahmad Dhani dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Negeri Jakarta Selatan, semalam.

Bagaimanapun, penganjur tidak mengesahkan sama ada Dhani akan turut serta dalam konsert berkenaan.

Pengarah Urusan Nizra Production, Nik Iruwan dalam kenyataannya berkata, kumpulan legenda Indonesia itu yang dianggotai Dhani, Once (penyanyi), Ari Lasso (penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Yuke Sampurna (bass), Tyo Nugros (dram) dan Agung Yudha (dram) akan terus memberikan persembahan terbaik buat peminat mereka di sini.

“Kami berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu bimbang kerana konsert ini akan tetap berlangsung,” katanya.

Terdahulu, Dhani didapati bersalah melakukan jenayah penyebaran kebencian di media sosial miliknya mula tular di media Indonesia.

Isu itu timbul apabila Dhani menggunakan akaun Twitter miliknya iaitu @ahmaddhaniprast dengan menimbulkan kebencian terhadap suatu golongan dengan menyuruh melakukan, menyebarkan informasi atas golongan berdasarkan suku, agama dan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:48 PM