PELAKON dan pelawak Ebby Yus menunjukkan anugerah yang dimenanginya ketika sesi temu bual di Kampung Baru. FOTO Aswadi Alias.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KISAH pelakon dan pelawak Ebby Yus yang disahkan mengalami masalah buah pinggang tahap tiga sejak tahun lalu mendapat perhatian ramai pihak.

Bukan saja dalam kalangan penggiat industri hiburan, tetapi peminat juga tidak berhenti bertanya bagi menghulurkan sumbangan, sekali gus dapat meringankan beban ditanggung terutama kos rawatan.

Namun Ebby, 54, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid menolak secara baik kerana tidak mahu meraih simpati dan mengambil kesempatan atas penyakit dihidapi.

Disebabkan itu, Ebby yang juga pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut yang ditayangkan di TV3 menjual koleksi keris dan sundang dimiliki bagi menampung kos rawatan dan perubatan sepanjang tahun lalu.

“Ramai tidak tahu saya adalah pengumpul koleksi keris dan sundang sejak lebih 20 tahun lalu. Tetapi disebabkan nak pakai wang, saya terpaksa jual. Memanglah sayang, tapi nak buat macam mana.

“Paling murah saya jual pada harga lebih RM1,000 dan paling mahal mencecah RM7,000. Jadi, wang yang ada saya manfaatkan sebaiknya. Bukan tak ada tawaran pekerjaan, tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan dan saya terpaksa tolak cara baik. Kebanyakan mereka tak tahu saya sakit sebab saya tak bercerita,” katanya.

Antara koleksi dimiliki adalah Keris Minang, Keris Bilah Belimbing, Keris Ular Lidi, Keris Jawa, Bilah Taming Sari, Sundang Moro, Sundang Terengganu, Sundang Bugis, Sundang Indonesia dan banyak lagi.

Selain itu, Ebby juga terpaksa menjual dua kereta akibat kesempitan wang dan tidak mampu lagi membayar ansuran bulanan.

“Kenalan dan jiran tempat tinggal selalu tanya mana pergi kereta saya. Saya tak malu beritahu sudah jual sebab tak mampu nak bayar. Buat apa saya sorok atau menipu. Tak mampu cakap tak mampu.

“Sebuah kereta saya jual tapi wang tak dapat, lagi sebuah saya minta pembeli itu sambung bayar saja. Apa yang penting saya tak nak ada hutang dengan bank,” katanya.


Ebby Yus menunjukkan hasil lukisannya ketika sesi temu bual di Kampung Baru. FOTO Aswadi Alias.

Tak boleh berdiri terlalu lama

Apa yang diinginkan sekarang adalah tawaran kerja yang bersesuaian dengan keadaan diri dan kesihatannya.

“Sepanjang tahun lalu keadaan saya sangat lemah dan banyak duduk di rumah saja. Jiran pun cakap lama tak nampak. Dalam masa sama, mereka pun tak tahu saya sakit.

“Selepas menjalani rawatan berkala dan makan ubat, alhamdulillah sudah ada sedikit perubahan. Tetapi, masih belum boleh aktif sangat sebab saya tak boleh berdiri terlalu lama.

“Jika penggambaran dalam studio saya okay. Insya-Allah, buat masa sekarang saya buat sikit-sikit dulu dan mana yang termampu. Buat banyak nanti tak larat pula,” katanya.


Ebby Yus menunjukkan koleksi keris dan pedang yang dikumpulnya ketika sesi temu bual di Kampung Baru. FOTO Aswadi Alias.

Terharu ramai yang bantu

Ebby berterima kasih kepada rakan artis dan peminat yang ingin membantunya.

“Saya bukan sombong atau tak bersyukur hingga menolak bantuan orang. Cuma, saya tidak mahu ia membebankan orang ramai. Ini kerana saya berasakan masih mampu untuk bekerja.

“Apa yang saya perlukan sekarang adalah doa yang baik-baik. Saya cukup terharu apabila ramai yang sayang. Macam selalu dikatakan, saya tak nak ambil kesempatan.

“Rakan juga ada buat sumbangan. Saya tak boleh menolak sebab mereka sampai di rumah saya. Begitu juga dengan beberapa persatuan artis,” katanya.

Dalam masa sama, Ebby berkata, dia reda dengan nasib menimpa namun tidak berhenti berikhtiar kerana masih ingin sembuh dan sihat seperti sedia kala.

“Penyakit buah pinggang ini saya sudah boleh jangka akan kena. Selain itu, saya turut menghidap diabetis dan darah tinggi. Malah, ramai yang sudah kena pun. Jadi, saya tak terkejut apabila dimaklumkan doktor mengenai penyakit ini.

“Saya reda dan dalam masa sama ikhtiar cara lain. Kalau Allah nak kata ini penyudah hidup saya, saya tak boleh nak elak lagi. Cuma, saya takkan berhenti berusaha.

“Selain rawatan berkala di hospital, saya juga ada buat rawatan tradisional. Makanan tambahan saya memang tak ambil. Walaupun doktor kata penyakit ini susah nak sembuh, ia tak melemahkan semangat saya,” katanya.


Ebby Yus menunjukkan hasil lukisannya ketika sesi temu bual di Kampung Baru. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:23 AM