NABILA Razali. FOTO Rohanis Shukri
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TIDAK kisah dirinya digelar 'ratu gimik' penyanyi, Nabila Razali menerima dengan hati yang terbuka asalkan niat baiknya mempromosikan single terlaksana.

Nabila, 26, yang tampil dengan single terbaru bertajuk Vroom Vroom berkata, untuk single kali ini dia sekadar menampilkan 'teaser' di Instagram (IG) miliknya dengan memuat naik beberapa foto tanpa kapsyen di samping menutup ruangan komen.

Sedangkan, sebelum ini, lebih 3,000 foto di muat naik di IG berkenaan.

Namun begitu, rata-rata peminat dan netizen menyatakan dia kembali lagi dengan gimik walaupun sudah menjelaskan ia hanyalah 'teaser'.

“Saya terima jika digelar ratu gimik. Bagi saya apa yang penting niat untuk memberitahu kepada peminat bahawa saya akan tampil dengan sesuatu yang baru tercapai.

“Saya juga menutup ruangan komen kerana tidak mahu peminat membuat andaian yang bukan-bukan dan saya lega apabila semua yang dirancang berjalan lancar," katanya selepas pelancaran single Vroom Vroom di Kuala Lumpur, semalam

Bagi Nabila, setiap artis punya cara yang berbeza dalam mempromosikan single masing-masing dan ini adalah caranya dalam mempromosikan setiap lagu-lagunya.

Malah, dia gembira apabila gimiknya itu turut menjadi ikutan artis lain.

Single Vroom Vroom dihasilkan oleh Hael Husaini dan Ezra Kong.

Pada majlis berkenaan turut dilancarkan muzik video Vroom Vroom yang menampilkan pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Fendy Bakry serta beberapa rakan artis lain seperti Hael Husaini, Ara Johari, Nia Atasha dan Sharifah Rose.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:46 AM