Ahmad Dhani (dua dari kiri) bersama anggota Dewa19. FOTO Cak Frod & Fraudy Yunanto
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


"INI mungkin menjadi konsert terakhir Dewa 19. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya".

Itu adalah kenyataan penyanyi dari Indonesia, Ahmad Dhani, ketika ditanya mengenai konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 2 Februari ini.

Dhani dihubungi berkata, Dewa 19 kini sudah menjadi 'band panggilan' dan tidak lagi menghasilkan album mahupun single baru.

"Kami tak ada keluarkan single baru atau pun album baru. Jadi, Dewa 19 kini lebih selesa digelar sebagai 'band panggilan'.

"Ertinya, kalau diundang untuk membuat persembahan, kami akan muncul," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai persediaan dia dan kesemua anggota Dewa 19 untuk konsert akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam itu, Dhani memberitahu bahawa peminat boleh menonton sesi latihan mereka di YouTube.

"Ini adalah kali pertama sesuatu band berkongsi sesi latihan di YouTube. Di situ juga, kami kongsikan lagu-lagu akan dipersembahkan di konsert itu nanti," katanya.

Dhani turut berterima kasih kepada peminat di Malaysia atau digelar Baladewa kerana baginya, Dewa 19 lebih dihargai di Malaysia.

“Kami rasa lebih dihargai di Malaysia berbanding di Indonesia. Jadi, harapnya, semua peminat di Malaysia dapat menerima baik kehadiran konsert kami ini,” katanya.

Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia bakal menyaksikan penyatuan Ahmad Dhani, Once dan Aris Lasso yang masing-masing pernah menjadi vokalis band legenda Indonesia itu.

Di acara konsert berdurasi tiga jam itu, peminat akan dihiburkan dengan 30 lagu hit Dewa 19 di samping persembahan artis jemputan, Andra & The Backbone.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 6:36 PM