ANTARA momen menarik sepanjang konsert Min Yasmin. FOTO Min Yasmin dan Julfekar Entertainment
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


IMPIAN setiap penyanyi semestinya mempunyai konsert sendiri dan lebih manis jika ia berlangsung di luar negara.

Begitulah kemanisan dikecapi penyanyi Nurul Yasmin Abdul Aziz atau Min Yasmin melalui konsert Min Yasmin Made In Asia Live In Concert di Zamboanga City, Mindanao, 12 Januari lalu.

Sejak membina nama di Filipina melalui single duet Sa Iyo bersama Nikki Bacalod pada 2015, Min sudah mengadakan tiga konsert berskala besar di sana.

“Syukur, semuanya berjalan lancar dan sangat meriah. Risau juga pada awalnya, takut jadi apa-apa tapi alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan.

MIN bergambar bersama peminat yang hadir. FOTO Min Yasmin dan Julfekar Entertainment

“Saya akui sangat gementar sebelum konsert walaupun pernah dua kali buat konsert di Filipina,” katanya.

Rasa gementar itu berpunca daripada keinginannya untuk melakukan yang terbaik dan memuaskan hati semua peminat yang membeli tiket bagi menonton konsert terbabit.

Min mendedahkan, beberapa hari sebelum konsert berlangsung, pihaknya ada membuat pengiraan jumlah tiket yang berjaya dijual dan hanya mencatat hampir 4,000 saja.

“Tapi dalam tempoh dua hari sebelum konsert, tiket berjaya terjual lebih 1,000 lagi menjadikan jumlah hadir pada pada malam itu lebih 5,000 penonton.

“Lebih manis, ada sekumpulan peminat daripada Sabah sanggup menaiki kapal laut yang mengambil masa 24 jam perjalanan untuk sampai ke Zamboa­nga City, semata-mata mahu menonton konsert ini,” kata Min terharu.

Min yang mengenakan tiga persalinan cantik hasil sentuhan pereka Malaysia iaitu Beauglam, Nina Hassan dan Syahida El Zehra. Min menyampaikan 25 lagu dalam enam bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sinama, Inggeris, Arab dan Melayu yang dibahagikan kepada tiga segmen.

Isteri kepada komposer Julfekar itu berkata setiap segmen mempunyai pengisian dan gimik tersendiri.

Pada segmen pertama yang bermula jam 8 malam, dia membawa beberapa lagu dengan empat bahasa.

“Apabila saya me­nyanyi lagu bahasa Tausug, peminat yang faham dan bertutur bahasa itu bersorak gembira. Malah apabila menyanyikan lagu dalam bahasa Sinama, peminat lain pula bersorak walaupun nak diikutkan maksud lirik lagu itu berunsur sedih.

“Mereka bersorak bukan sebab gembira dengan kesedihan dalam lagu itu tetapi kerana bangga lagu dalam bahasa mereka dinyanyikan dengan baik,” katanya.

Situasi sama juga berlaku apabila dia menya­nyikan lagu dalam bahasa Tagalog apabila sekumpulan peminat yang datang dari Manila turut menjerit gembira.

Min pada awal cuba berseloroh sebelum menya­nyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan bertanya adakah ada dalam kala­ngan penonton yang hadir faham bahasa itu?

MIN dan Julfekar berduet lagu Tiada Lagi. FOTO Min Yasmin dan Julfekar Entertainment

“Apabila ditanya, saya nampak sekumpulan peminat bersorak. Mereka rupa-rupanya datang jauh dari Sabah dengan menaiki kapal laut.

“Pada segmen kedua pula, saya buka dengan lagu Arab berjudul Deen As Salam yang sedang popular. Ketika saya ‘humming’ melodi pembuka lagu itu, peminat terus menjerit-jerit dan menyanyi bersama,” katanya seronok dapat mencabar diri melagukan irama baru buatnya.

Pada segmen itu juga, dia menjemput seorang penyanyi rap berbangsa Suluk yang berbahasa Tausug.

Katanya, pada segmen itu dia turut menyanyi rap lagu baru yang dicipta Julfekar sambil dibantu penyanyi rap itu.

“Saya pertama kali menyanyi rap, peminat bersorak dan melompat memberi maklum balas mereka sukakan lagu itu.

“Segmen kedua juga meriah kerana saya berduet dengan menjemput 20 penyanyi tempatan dari Sulu Stars, Tawi-Tawi Stars dan Zamboanga Artistes,” katanya.

Pada segmen ketiga, dia kembali membuat persem­bahan solo dan berduet dengan suaminya menya­nyikan lagu Tiada Lagi yang sering dinyanyikan mereka setiap kali memenuhi undangan persembahan perkahwinan di negara itu.

Penonton ikut menari

Tanpa berselindung, Min akui detik paling menarik buatnya apabila dapat melihat sendiri maklum balas setiap penonton yang menangis, ketawa, bersorak dan menari pada setiap lagu yang didendangkan.

Katanya, tidak kisahlah lagu didendangkan berentak perlahan atau rancak, semua penonton akan menyanyi, malah menari bersama-sama tanpa perlu disuruh.

“Apabila saya menyanyi lagu yang menyentuh hati, ada yang menangis. Saya lega kerana mereka dapat merasainya. Ia buatkan saya gembira sebab apa yang saya cuba sampaikan kena tepat ke hati mereka.

“Sama seperti apabila saya menyanyi lagu rancak, penonton yang duduk terus bangun melompat serta menari gembira,” katanya.

BERSAMA 20 artis tempatan yang turut berduet dengan Min pada konsert Sabtu lalu. FOTO Min Yasmin dan Julfekar Entertainment

Lebih menyentuh hati, apabila ribuan peminat sanggup menunggu berjam-jam lamanya semata-mata mahu bergambar dengan penyanyi itu.

Malah, ada kalangan peminat cilik berusia lima dan enam tahun memakai turban kerana terikut-ikut gaya Min sambil menjerit nama penyanyi penyanyi kesayangan mereka itu.

Konsert mengalahkan artis Manila

Min turut berkongsi pihak penganjur lokasi memberi maklum balas sangat positif susulan kejayaan konsertnya itu.

“Mereka mendedahkan, konsert ini jauh lebih hebat berbanding artis popular yang pernah di bawa dari Manila,” kata terharu.

Min turut mendedahkan beberapa penganjur konsert sudah menyatakan persetujuan serta berminat menganjurkan konsert Min Yasmin Made In Asia di Luzon dan Mindanao pula.

Katanya, mulai bulan depan, dia akan terbabit dalam siri jelajah pusat beli-belah seluruh Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:47 AM