PARK Shin Hye.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Tempoh 15 tahun berjuang memperkembangkan bakat lakonannya, Park Shin Hye, 29, kini mampu tersenyum puas.

Lakonan mantapnya sebagai Jung Hee Joo dalam drama Memories of the Alhambra bersama pelakon kacak, Hyun Bin menarik perhatian penonton.

Malah, dengan kejayaan drama itu juga Shin Hye mendapat gelaran pelakon serba boleh dalam kalangan kelompok peminat yang menyokongnya.

Sehubungan itu, kanvas seni Shin Hye untuk tahun ini boleh dikata mampu dilakarnya dengan permulaan lembaran yang cantik dan sangat indah.

Ini berikutan peminat Shin Hye semestinya takkan melepaskan peluang untuk menonton aksi hebatnya di layar perak menerusi filem berjudul Call tidak lama lagi.

Shin Hye dalam satu temubual berkata, dia melakonkan watak Seo Yeon yang menuntut dirinya bermain dengan emosi berat.

"Filem Call ternyata memberikan pengalaman baharu buat saya untuk membuktikan kemampuan bakat lakonan yang sebenar.

"Saya berterima kasih kepada pengarah, Lee Chung Hyun kerana yakin dan percaya dengan tahap kemampuan saya membintangi filem arahannya. Memang saya teruja untuk melakonkan watak Seo Yeon yang memaksa saya untuk berani bermain dengan tuntutan emosi yang berat.

"Karya ini sangat menarik pada saya kerana ia mengisahkan kecekalan hati dua wanita yang harus berani berjuang untuk hidup mereka," katanya.

Pernah tersenarai di kedudukan ke-12 sebagai selebriti berpengaruh Korea Selatan pada 2017 menerusi Forbes Korea, Shin Hye juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tidak memerlukan dirinya dipalit kisah sensasi, sikap tulus Shin Hye ternyata berjaya menempatkan dirinya di tahap terbaik pada mata peminat.

Mengulas mengenai watak Seo Yeon, Shin Hye berkata, tidak mudah baginya untuk bermain dengan emosi yang berubah-ubah.

"Perubahan emosi Seo Yeon dalam filem Call berpunca daripada perasaan kekeliruan dalam diri yang sangat hebat dihadapinya

"Keadaan kekeliruan itu sangat menarik bagi saya kerana ia memberi peluang untuk menunjukkan kepada penonton betapa mencabarnya bermain dengan emosi," katanya.

Memberi jaminan tidak akan menghampakan penonton, filem Call menggandingkan Shin Hye bersama pelakon hebat Korea yang lain seperti Jeon Jong Seo, Kim Sung Ryung dan Lee El.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 6:00 AM