Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON Reen Rahim mengakui dia membuat rujukan pada beberapa 'karakter sebenar' yang sudah dibincangkan bersama pengarah untuk menghidupkan watak Suria dalam drama Pujaan Hati Kanda (PHK) dibintanginya.

Reen, 31, memberitahu apa pun dia harus merahsiakan siapa watak sebenar yang dirujuk itu kerana menghormati permintaaan individu berkenaan.

"Saya pun sebenarnya tak sangka watak Suria atau Kak Su iaitu kakak kepada Tiara akan mendapat sambutan baik sehebat ini daripada peonton drama PHK.

"Walaupun pada episod awal Suria ada dikecam kerana 'bermulut puaka' tetapi hatinya baik dan mana ada kakak yang tidak sayang pada adiknya.

"Terus-terang, watak Suria ini tidaklah semudah disangka untuk melakonkannya. Namun, saya sentiasa berusaha memahami kehendak skrip dan cuba meresapkan watak itu dalam diri.

"Malah, apa yang penting watak Suria itu cukup dekat dengan kehidupan wanita kampung. Sentiasa berkain batik dan tak perlu bersolek terlalu mampan," katanya.

Mengulas mengenai lontaran dialognya yang spontan, Reen berkata dia sentiasa pastikan ia diolah sesedap rasa. Katanya, apa pun tetap mengikut persetujuan pengarah.

"Namun, macam saya kata tak jangka juga apabila beberapa dialog Suria seperti 'halah halah halah, kakak perigi dan yang ini pun' begitu menarik perhatian penonton yang berasakan ia kelakar dan bersahaja.

"Apa pun, saya sangat berterima kasih kepada penonton kerana sudah dapat menilai bakat lakonan dipersembahkan. Ia menjadi pembakar semngat buat saya," katanya.

Ditanya juga mengenai jumlah pengikut Instagramnya (IG) yang semakin meningkat, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata dia tidak pernah menjadikan berapa banyak jumlah pengikut IG sebagai kayu ukur utama.

Pernah dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih musim ketiga pada 2012, Reen memberitahu dia sentiasa yakin betapa penilaian dibuat penonton ke atas seseorang pelakon tetap bersandar pada bakat.

Drama PHK yang kini disiarkan slot Akasia di TV3 diarahkan sutradara berkaliber, Eoon Shuhaini sebanyak 28 episod yang diterajui pelakon Remy Ishak dan Mira Filzah sebagai watak utama.

Barisan pelakon lain turut membintangi drama adaptasi novel ini ialah Syazwan Zulkifly, Sarah Hildebrand, Azar Azmi, Elisha Sandha, Mustaqim Bahadon, Aida Khalida dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:01 PM