Aksi Andrew ketika melakukan persembahan bergerak. FOTO Ihsan Andrew Lee
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


AHLI silap mata tempatan, Andrew Lee mengakui bangga dapat mengharumkan nama negara apabila menjadi warga Malaysia pertama membuat persembahan pada acara Perarakan Tahun Baru London 2019 (LNYDP) pada 1 Januari lalu.

Menurut Andrew, 31, dia bersyukur apabila berjaya mengagumkan lebih 650,000 yang hadir meskipun berhadapan cabaran menyempurnakan persembahannya.

“Saya dan pasukan berdepan beberapa cabaran termasuklah ruang yang terhad, trak bergerak, darjah sudut 360 dan angin kencang namun berjaya melaksanakan persembahan dengan baik.

“Apapun, penonton memang sangat mengagumkan. Reaksi mereka luar biasa dan ramai pelancong dari seluruh dunia turut hadir. Saya pastinya teringin melakukannya lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman itu, Andrew berkata dia langsung tidak menyesali persembahannya meskipun sebenarnya boleh lakukan aksi lebih baik.

“Tiada penyesalan langsung. Kami sebenarnya cuma berharap lebih bersedia dengan cabaran angin kencang namun kami tetap dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada acara itu, Andrew melakukan persembahan bergerak sepanjang 3.2 kilometer merentasi beberapa lokasi sekitar kota London termasuklah Piccadilly Circus, Regent Street, St James', Trafalgar Square, Whitehall dan berakhir di Parliament Square.

Acara kali ini menampilkan persembahan seperti perbarisan band, pasukan sorak serta belon besar dan ditayangkan secara langsung di lebih 900 stesen televisyen.

Terdahulu, Andrew berjaya meraih perhatian apabila menyertai uji bakat program Britain’s Got Talent tahun lalu.

Kini dia aktif membuat persembahan di beberapa negara termasuklah Itali, Lithuania, Mesir, Romania serta sekitar rantau Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 12:42 PM