Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Sama ada kali pertama, kedua, ketiga atau selebihnya, keterujaan menimang cahaya mata pastinya sama saja. Ada terselit debaran dan juga kegembiraan kerana jumlah anggota keluarga akan bertambah.

Membuka lembaran 2019, ada selebriti tanah air yang sedang menantikan kehadiran ‘orang’ baru dalam keluarga. Masing-masing berkongsi kegembiraan itu di laman sosial.

Peminat juga sudah tidak sabar melihat bayi comel mereka. Malahan, doa sering dilayangkan agar selebriti kesayangan mereka dapat menempuhi setiap fasa dengan lancar.

1. Mawar Rashid

Pelakon yang mulai mencipta nama menerusi drama Tundukkan Playboy itu berkongsi berita gembira selepas setahun mendirikan rumah tangga bersama Raf Yaakob.

Mawar yang kini hamil tujuh bulan sempat bercuti di Bali, Indonesia sebelum melahirkan anak sulung mereka. Dijangkakan, pasangan itu bakal menimang cahaya mata pertama pada Mac ini.

Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Terdahulu Raf pernah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata.

2. Hanis Zalikha

Ketika bercuti di Tokyo pada November lalu, suami Hanis Zalikha iaitu Hairul Azreen menggunakan kesempatan itu untuk mengumumkan mereka bakal menimang anak kedua.

Pasangan ini bernikah pada 5 Jun 2015 di Bukit Jelutong, Selangor dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Yusuf Iskandar. Yusuf lahir pada 3 Jun 2016.

Pasangan ini sering mendapat perhatian kerana ramai yang menyukai keletah comel Yusuf. Malahan, peminat tidak sabar melihat gelagat Yusuf bergelar ‘Abang’.

3. Shakilla Khoriri

Berita Shakilla hamil dikongsi suaminya, Fizi Ali. Usia kandungan Shakilla kini sudah mencecah tujuh bulan. Walaupun sarat mengandung, Shakilla tetap menjalani aktiviti lasak seperti joging dan mendaki Bukit Tangki di Felda Lurah Bilut Bentong, Pahang.

Meskipun mendapat pelbagai reaksi kurang menyenangkan daripada netizen, Shakilla menjelaskan aktiviti itu dilakukan secara santai dan mengikut kemampuan dirinya yang berbadan dua.

Pada 16 Julai 2017, pasangan ini bertunang selepas empat tahun bercinta. Mereka sah bergelar suami isteri pada 18 Februari 2018. Pasangan itu diijabkalbulkan oleh bapa pengantin perempuan, Khoriri Markon dengan dua kali lafaz tepat jam 10.37 pagi di Dewan Chersonese Media Hall, Maju Junction Mall, Kuala Lumpur.

4. Syatilla Melvin

Pelakon ini mendirikan rumah tangga dengan aktor Shaheizy Sam pada 8 Februari 2016 selepas enam tahun bercinta. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Syeriv Samheizy pada 9 Mei 2017.

Pada pertengahan tahun lalu, hasrat pasangan ini untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila Syatilla mengalami keguguran selepas pulang bercuti. Ketika itu, usia kandungannya baru enam minggu.

September lalu, Syatilla berkongsi berita gembira hamil lagi menerusi Instagram dengan memuat naik gambarnya bersama Sam memegang sekeping foto imbasan ultrabunyi.

5. Zizie Ezzette

Turut berkongsi berita gembira ialah kakak ipar Syatilla iaitu Zizie Ezette. Pelakon ini mengambil risiko apabila disahkan hamil kali kedua selepas sembilan bulan melahirkan anak kembarnya, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette secara pembedahan pada 29 Disember 2017.

Sebaik disahkan hamil, Zizie lega kerana doktor memaklumkan semuanya baik dan tidak ada masalah untuk hamil kali kedua.

Zizie mengumumkan berita gembira itu di Instagram dan bakal melahirkan anak perempuan dijangkakan pada Mac ini. Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini berkahwin dengan ahli politik, Bung Mokhtar pada 2009.

6.Izreen Azminda

Baru-baru ini, pelakon Izreen Azminda berkongsi berita hamil tiga bulan. Izreen berkata dia dijangka melahirkan anak sulung daripada perkahwinan keduanya bersama Ude pada Julai depan.

Berbeza dengan kehamilan pertama, kali ini Izreen mengalami alahan teruk hingga langsung tidak dapat membuat kerja berat. Katanya, dia mudah mengalami pendarahan.

Izreen berkahwin dengan Ude secara rahsia pada 8 Ogos 2017.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berusia enam tahun.

7. Anzalna Nasir

Melangsungkan pernikahan pada 21 Februari 2016, Anzalna dan Hanif menantikan kelahiran anak sulung mereka tahun ini.

Berita gembira itu dimaklumkan menerusi video yang dimuat naik di Instagram ketika dia dan keluarga sedang meraikan hari kelahirannya.

Menerusi rakaman berkenaan, Anzalna mendedahkan usia kandungannya sudah mencecah empat bulan. Dia juga berterima kasih atas doa peminat untuknya.

8. Liza Hanim

Liza atau Haliza Hanim Abdul Halim tidak menjangkakan bakal diberikan rezeki anak kelima selepas anak keempat berusia tiga tahun. Dia dijangka bersalin pada Februari ini.

Penyanyi ini akui kehamilan kelimanya itu adalah satu kejutan yang mengujakan. Dia sama sekali tidak menyedari dirinya sedang hamil. Malahan, ketika berkongsi berita bersama keluarga, khabar itu disambut gembira.

Liza berkahwin dengan bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Sharin Mohamed Samsuddin dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Marsya Qistina, 16, Marissa Qalreen, 10, Mohammed Salahuddin, 8, serta Mohamed Ibrahim, 4.

9. Dynas Mokhtar

Bagi pelakon tinggi lampai ini, walaupun kehamilan ketiga, ia amat mengujakan kerana bakal menimang cahaya mata sulung dari perkahwinan keduanya bersama Shazrik Din.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu bakal menyambut ahli keluarga baru pada April nanti.

Dynas mempunyai dua anak iaitu Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish menerusi perkahwinan pertamanya.

10. Nourul Depp

Tahun lalu, pada usia 41 tahun, penyanyi Nourul Depp bersyukur kerana diberikan rezeki untuk hamil anak keempat.

Menurut Nourul, suaminya sering merayu supaya dia mengandung lagi dan akhirnya doa Eric Depp dimakbulkan.

Berkahwin dengan Eric pada 2012, pasangan romantik ini dikurniakan dua anak iaitu Zachary, 6, dan Raphael, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Nourul dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ayu Nazirah, 21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:03 AM