Mila mahu selesaikan urusan dengan pelanggannya selepas bekalan elektrik terputus di sebuah bangunan di Subang Jaya baru-baru ini. FOTO IHSAN MILA JIRIN
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


BAKAL berangkat mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah minggu hadapan, selebriti dan ahli perniagaan, Mila Jirin, 32, akur dengan dugaan ditimpakan oleh Allah SWT buatnya.

Mila diuji dalam perniagaan apabila harus berhadapan dengan beberapa pelanggan syarikat kateringnya yang mendakwa majlis perkahwinan ahli keluarga mereka terjejas akibat masalah tiada bekalan elektrik selama beberapa jam di sebuah bangunan di Subang Jaya pada 5 Januari lalu.

Mila selaku Pengarah Urusan syarikat terbabit yang menghubungi Harian Metro berkata, pihaknya sedia berbincang dengan beberapa pelanggan berkenaan untuk menyelesaikan dakwaan permasalahan yang terjadi secara muafakat.

"Sebenarnya, masalah bekalan elektrik terputus itu sudah berlaku sejak 4 Januari lalu (Jumaat) selepas terjadinya insiden kebakaran kecil di ruang tangga kecemasan di tingkat dua bangunan berkenaan sekitar jam 6.40 petang.

"Saya masih bekerja di pejabat pada lewat petang kejadian kebakaran itu kerana ada mesyuarat. Jadi, saya tahulah situasi sebenar yang berlaku.

"Sebanyak tiga jentera bomba dari Pasukan Bomba dan Penyelamat berdekatan dihubungi datang ke kawasan kejadian untuk memadam kebakaran berlaku.

"Bagaimanapun, kebakaran kecil itu secara tidak langsung turut mengaktifkan alat pemercik air (water sprinkler) yang dipasang dalam bangunan," katanya.

Menurut Mila, sekalipun insiden kebakaran itu dapat dipadamkan, dia harus akur ujian Allah SWT.

"Sekitar jam 10 malam, apabila pihak pengurusan bangunan menghidupkan semula bekalan elektrik terputus itu tiba-tiba ada letupan berlaku di bilik janakuasa saluran elektrik utama.

"Rupa-rupanya, air daripada alat pemercik air bangunan yang aktif ketika kebakaran itu sudah menyebabkan tumpahan air berlaku di bilik janakuasa saluran elektrik utama hinģga mengalami kerosakan besar dan memerlukan masa untuk dibaiki.

"Memandangkan pada keesokannya (Sabtu) ada beberapa majlis perkahwinan akan berlangsung dan perlu diurus, saya sudah memaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan terbabit supaya mereka membaiki dan menyelesaikan masalah elektrik itu segera.

"Pihak pengurusan bangunan memberi jaminan akan siap membaikinya lebih awal di sebelah pagi sebelum majlis berlangsung. Namun, kerosakan teruk dialami menyebabkan masa lama sekitar 15 jam diambil mereka untuk siap membaiki sepenuhnya," kata Mila.

Ujarnya, walaupun bangunan terbabit turut dilengkapi oleh kemudahan set generator (gen-sets) bagi menyokong sebarang masalah terputus bekalan elektrik, tetapi akibat kerosakkan teruk di bilik janakuasa utama, maka kemudahan itu tidak dapat berfungsi.

Mila atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin berkata bekalan elektrik di bangunan itu hanya dapat beroperasi sepenuhnya semula pada jam 2 petang hari yang sama (Sabtu).

Mengulas mengenai dugaan awalnya untuk 2019 ini, Mila melihat positif sebagai ujian kepadanya dan keluarga yang kini menghitung hari untuk berangkat ke Makkah mengerjakan umrah.

"Saya bersama keluarga akan menjadi tetamu Allah SWT pada minggu depan. Jadi, sebelum berangkat mengerjakan ibadah, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu.

"Pihak peguam saya akan menghantar surat kepada pelanggan terbabit untuk sesi perbincangan dibuat bagi menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya dan profesional," katanya.

Selama lima tahun mengusahakan perniagaan pengurusan perkahwinan itu, juara Akademi Fantasia 5 (AF5) yang popular dengan lagu Persis Mutiara ini berkata baru pertama kali dia diuji dengan dugaan besar sebegitu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:09 PM