SYAZWAN Zulkifl. FOTO Nur Adibah Ahamd Izam
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Walaupun jarang diberi watak utama atau hero, Syazwan Zulkifly berjaya mencipta fenomena hasil lakonannya sebagai Pali dalam drama Pujaan Hati Kanda yang kini ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

Lakonan cemerlang jejaka berusia 31 tahun ini berjaya membuatkan ramai penonton terkesan.

Syazwan berkata, reaksi luar biasa itu membuktikan dia mampu bawa watak antagonis dan itu kelebihannya.

Keberkesanan watak itu jelas apabila ada peminat terlalu marah hingga menghamburkan cacian terhadap watak itu di media sosial.

“Jika menilai dari sudut positif, pencapaian ini sangat membanggakan berdasarkan impaknya yang begitu besar. Saya tidak nafikan kepuasan melakonkan watak ini lain daripada watak yang pernah dilakonkan sebelum ini. Apabila penonton sendiri mengakui keberkesanan watak itu, saya lega.

“Namun, ada juga yang terlalu emosi. Disebabkan terlalu geram, ada penonton meninggalkan komen yang sebenarnya kurang enak dibaca. Saya harap mereka komenlah secara berpada-pada tanpa menggunakan kata-kata kesat. Lagipun, saya tengok kebanyakan yang berbuat demikian adalah remaja. Jadi, ia tidak bagus,” katanya.

Ketika mula mencipta nama pada 2011, Syazwan turut menjadi bualan selepas berjaya membawakan watak pelajar bermasalah, Apek dalam drama bersiri Juvana.

Lakonannya itu melekat dalam kepala ramai penonton sehingga kini.

Bertitik tolak dari situ, pelakon terbabit kerap diberikan watak seumpama yang membataskan peluangnya membawa watak hero.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah buat Syazwan jika rezekinya terus berpihak kepada watak antagonis.

“Saya sebenarnya tidak menyimpan niat untuk menjadi hero pun. Saya menyedari penampilan fizikal terutama rupa paras memang ke arah watak sebegitu.

“Bagaimanapun, saya langsung tidak mengeluh mengenai hal itu. Konsepnya mudah saja, apa saja watak diberikan, saya perlu meneroka segenap sudut bakat untuk ditonjolkan.

“Jika diberikan watak antagonis lagi selepas ini, saya cuma perlu pastikan lakonan tidak dibayangi watak terdahulu. Saya kena pastikan karakter itu ada identiti sendiri,” katanya.

Mengakui kurang sibuk tahun lalu, Syazwan juga bersyukur impak daripada lakonannya dalam drama Pujaan Hati Kanda membuka pintu rezeki buatnya.

“Sebenarnya, kalau ikutkan, jadual saya beberapa bulan kebelakangan ini tidak sesibuk mana. Bagaimanapun, sebaik watak Pali menjadi ‘trending’ di media sosial, tawaran datang tanpa diduga.

“Saya amat bersyukur rezeki datang berganda hasil kerja keras yang mendatangkan hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:00 PM