NURA melancarkan single duet pertamanya bersama Aiman Hashim berjudul Semanis Cinta pada September 2017. FOTO ihsan Nura.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


TIGA tahun bertugas sebagai penyampai radio Manis FM di Kuala Terengganu, tidak pernah terlintas di fikiran Tengku Nura Najihah Tengku Adnan, 25, untuk mempunyai single sendiri.

Bagaimanapun bagi penyanyi kecil molek yang lebih terkenal dengan panggilan Nura, tawaran untuk menyanyikan lagu gubahan komposer terkenal Eddie Hamid dan penulis lirik Hakim Hakimi tidak dilepaskan.

Lagu bertajuk Semanis Cinta yang dinyanyikan bersama pasangan duetnya Aiman Hashim dilancarkan 11 September 2017 dan sehingga kini masih meniti di bibir peminat sehingga video klipnya mencapai 3.1 juta tontonan di YouTube.

Nura berkata, dia tidak pernah menyimpan impian untuk terbabit dalam bidang nyanyian, jauh sekali mempunyai album sendiri.

“Tawaran untuk menyanyikan single duet itu bagaikan satu mimpi dan ia memang tidak dijangka sama sekali.

“Memang terharu apabila komposer mempunyai nama besar dalam industri muzik tanah air memberi kepercayaan dan menawarkan saya menyanyikan lagu gubahannya.

“Pada mulanya, saya bimbang juga untuk menerima tawaran itu kerana tidak mempunyai pengalaman selain tidak pernah mengikuti kelas vokal, namun sokongan keluarga membuatkan saya yakin,” katanya.

Tambahnya, dia bersama Aiman hanya mengambil masa selama tiga hari untuk berlatih sebelum membuat rakaman pada Ogos 2017 dan persembahan pentas.

“Saya dan Aiman memang biasa menyanyikan semula lagu duet popular dan memuat naik di media sosial.

“Nyanyian itu sebagai terapi kepada kami untuk menghilang penat seharian berkerja selain menghiburkan hati.

“Mungkin dari situ, keserasian dan bakat terpendam kami dihidu bekas Perunding Program Manis FM, KC Ismail sebelum memperkenalkan kami kepada Eddie Hamid,” katanya.

Menurutnya, berikutan skop promosi terhad dan hanya dibuat di media sosial menyebabkan single duet itu kurang didengar di corong radio tempatan.

“Ramai peminat yang baru mendengar lagu itu menyangka single duet itu baru dilancarkan sedangkan ia sudah dilancarkan pada 2017.

“Melihat sambutan peminat, berkemungkinan saya dan Aiman akan digandingkan untuk single duet terbaru pada tahun ini,” katanya.

Nura kini ke udara setiap pagi di stesen radio Manis FM bermula 6 pagi hingga 10 pagi melalui segmen Manis-Manis Pagi ditemani Dj Kai dan Mat Dan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:13 PM