Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Annyeonghaseyo! Tidak pasti apa yang diinginkan seorang individu terhadap keluarga anggota Super Junior, Kyuhyun. Namun, tindakannya mengekori dan mengganggu mereka jelas membimbangkan.

Perkara itu didedahkan kakak penyanyi berkenaan iaitu Ahra yang mendakwa individu dikenali sebagai Hyori menghantui hidup mereka sejak tiga tahun lalu.

Individu terbabit yang menggunakan nama @hyori35 menerusi Instagram berkali-kali menggodam akaun sosial media mereka, menghantar mesej mengugut bunuh dan beberapa perkara menakutkan.

Peminat itu juga tidak takut walaupun sudah berkali-kali diberi amaran selain beberapa laporan polis sudah dibuat.

Walaupun sudah diberi amaran, dia akan kembali dengan akaun Instagram baru dan tidak berhenti mengganggu keluarga KyuHyun.

Menurut Ahra, individu itu akan menelefonnya siang dan malam menggunakan talian telefon antarabangsa yang berbeza.

Bukan setakat dirinya, anggota keluarga lain turut menjadi mangsa individu itu. Yang lebih menakutkan, dia turut mengekori mereka dalam setiap aktiviti harian.

Malah, pada satu ketika individu terbabit pernah memuat naik gambar bapa Kyuhyun sedang makan sendirian di sebuah restoran.

Ia sekali gus membuktikan individu berkenaan sebenarnya berada dekat dengan mereka.

Selain itu, dia juga kerap meninggalkan komen kasar kepada Ahra sebelum ini.

Di saat Ahra hendak bersalin sebelum ini, individu itu menghantar mesej mendoakan Ahra mati.

Bagaimanapun, Ahra sudah memadam semua perkongsiannya mengenai individu itu di Instagram manakala akaun Hyori juga tidak wujud lagi.

Sejak pendedahannya itu, ramai peminat memulakan kempen kesedaran supaya keluarga KyuHyun diberi keadilan menerusi tanda pagar #ProtectChoAhra dan #ProtectKyuHyun di beberapa platform sosial media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 10:35 AM