ANZALNA. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SELEPAS hampir tiga tahun menanti, pelakon Anzalna Nasir akhirnya berkongsi khabar gembira bahawa dia kini hamil.

Anzalna, 30, memaklumkan berita gembira melalui Instagram dan ketika itu, dia bersama ahli keluarga berkumpul meraikan ulang tahun kelahirannya.

Pelakon itu turut memaklumkan usia kandungannya sudah mencecah empat bulan.

“Masa yang saya nanti-nantikan. Allah memang tahu yang terbaik untuk kamu dan bila masa terbaik kamu harus memilikinya.

“Pada hari istimewa ini bersempena ulang tahun kelahiran, ingin saya kongsikan dengan anda semua bahawa saya dan @hanif_zaki (suami) sedang menanti kelahiran cahaya mata sulung kami.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang selama ini mendoakan Anzalna dan suami mendapat zuriat.

“Benar, jodoh, rezeki, rezeki zuriat, atau ajal maut menjadi rahsia-Nya dan tak perlu kita mempersoalkannya. Yang penting kita berusaha, berdoa, dan bertawakal,” katanya.

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 30, pada 21 Februari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:33 PM