BANGUNAN Istana Budaya, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“APA yang disebutkan oleh menteri ada kebenarannya dan perkara ini berlaku sekitar tahun 2010 sehingga 2016," kata Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mengenai kegagalan 37 penerbit melunaskan hutang tertunggak bernilai kira-kira RM3 juta yang ditanggung oleh Istana Budaya (IB).

Juhari berkata, pihaknya juga bertegas melakukan langkah sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

"Bermula pada 2017 hingga tahun lalu, IB sudah bertegas dan itu sebabnya persembahan agak berkurangan.

"Mana-mana penerbit yang tidak berpotensi untuk bayar tidak dibenarkan buat persembahan.

"Manakala, sesiapa yang ada hutang perlu melangsaikan terlebih dahulu sebelum dibenarkan beraksi di IB," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, IB mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh jabatan undang-undang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan isu ini.

"Untuk mengelakkan hutang bertambah, kami kena bertegas dengan semua pihak.

"IB tidak membenarkan langsung serta akan menyenarai hitam mereka yang bermasalah.

"Yang berhutang kena bayar kerana jika tidak, akan berdepan tindakan undang-undang," katanya.

IB juga memberi peluang kepada mereka membayar hutang secara ansuran.

"Langkah ini berjaya apabila ada yang berbuat demikian sehingga menyelesaikan hutang. Semua yang terbabit adalah penerbit kecil dan kali pertama buat persembahan.

"Sebelum ini ada isu berbangkit apabila IB dikatakan pilih kasih beri peluang kepada orang yang sama sahaja untuk buat persembahan.

"Apabila bagi peluang syarikat baru yang tidak cukup mahir strategi pemasaran dan buat persembahan yang tidak bawa pulangan, mereka akhirnya rugi," katanya.

Juhari berkata, sebagai langkah menggalakkan percambahan seni budaya di IB, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi inisiatif kerjasama membabitkan IB dan penerbit.

"Mereka tidak perlu bayar sewa panggung tetapi kena kongsi keuntungan dengan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 7:24 PM