PENYANYI dan komposer Aizat Amdan mengimamkan solat jenazah bapanya Datuk Amdan Mat Din di Masjid Jami‘ilhuda, Ampang. FOTO Aswadi Alias
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


MESKIPUN terkesan dengan pemergian ayah tercinta, Datuk Amdan Mat Din, penyanyi dan komposer Aizat Amdan akan meneruskan perjuangan ayahnya yang mahu melihat dia berjaya dalam bidang seni.

Aizat, 30, ketika ditemui berkata, ayahnya penyokong tegar selama dia membabitkan diri dalam bidang seni.

“Sejak dulu saya pegang pesanan ayah yang mengajar saya untuk sentiasa berlapang dada terhadap sebarang masalah yang saya alami.

“Baik atau buruk sesuatu perkara itu harus terbuka menerimanya dan sentiasa belajar menerima,” katanya.

Aizat berkata, ayahnya sentiasa menyokong setiap perkara yang dilakukan anak-anak kerana dia akan gembira apabila melihat anak-anak semua gembira.

Pastinya kehilangan ayahnya pada usia 62 tahun itu memberi kesan yang sangat mendalam buatnya dan juga adik-beradik yang lain.

“Hampir setahun ayah mula terlantar akibat penyakit angin ahmar dan sejak September tahun lalu dia sudah tidak boleh bercakap dan menelan makanan.

“Kami semua tidak berputus asa untuk cuba bercakap dengannya setiap hari, namun keadaannya semakin teruk,” katanya.

Bapa Aizat yang pernah bekerja sebagai hakim, meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri pada 1.10 pagi tadi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor selepas solat Zohor, hari ini.

Beliau dikesan menghidap penyakit angin ahmar sejak tujuh tahun lalu. Sejak bercerai dengan ibu Aizat, arwah tidak pernah berkahwin lagi dan arwah meninggalkan enam anak dan seorang cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:31 PM