SYAZWAN Zulkifly. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON, Syazwan Zulkifly memberitahu dia bukan geram atau marah dengan netizen yang mencari kesalahan lakonannya dalam satu babak drama Pujaan Hati Kanda, sebaliknya cuma mahu mengusik manja.

Syazwan, 31, berkata, dia memuat naik luahan itu di Instagram sekadar untuk memberi peringatan dan mengakui turut berbesar-hati apabila penonton sebenarnya ambil berat.

“Bukan marahlah. Saya cuma hendak mengingatkan penonton agar janganlah terus mencari salah padahal apa yang mereka tuduh itu tak salah pun.

“Saya sebenarnya terkejut juga apabila ada penonton mendakwa pada satu babak yang mana saya menangkap gambar guna telefon, kameranya dihalang rantai kunci. Padahal, sebenarnya tak pun.


PAPARAN kenyataan Syazwan yang dikatakan 'berang' dengan teguran netizen. FOTO Instagram Syazwan Zulkifly

“Saya akui sebelum ini memang ada beberapa kesalahan akibat kelalaian produksi untuk drama itu sehingga menjadi sebutan ramai. Bagaimanapun, kami memperbaiki dan lebih peka daripada aspek itu,” katanya.

Syazwan juga berkata, setiap teguran yang diberikan penonton sebenarnya sangat berguna kepada mereka.

“Apabila mereka membuat teguran sebegitu, itu bermakna mereka ambil berat. Baguslah untuk kami dan produksi agar lebih menitikberatkan daripada aspek itu pada masa hadapan.

“Cuma, saya meminta semua agar tegurlah dengan bahasa yang baik. Bukannya dengan caci maki atau ayat-ayat yang kasar,” katanya.

Selain Syazwan, drama Slot Akasia TV3 itu turut dibintangi Mira Filzah, Remy Ishak, Reen Rahim, Aidil Aziz dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:30 PM