Min Yasmin merasai gegaran di Filipina dan turut berkongsi di media sosial (gambar kanan). FOTO NSTP.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


"TIBA-tiba saja suami beritahu rasa katil bergegar dan seperti dilambung-lambung," kata penyanyi, Min Yasmin, susulan berdepan dengan kejadian gempa bumi pada magnitud 5.5 skala Ritcher yang melanda kawasan berhampiran Zambonga City, Filipina, tengahari tadi.

Min dan suaminya, komposer Julfekar berada di sana sejak seminggu lalu sempena konsert Min Yasmin Made In Asia pada 12 Januari depan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hilangkanlah dan Sa Iyo ketika dihubungi Harian Metro, berkata, ketika kejadian mereka sedang bersiap-siap untuk keluar kerana ada sesi promosi konsert.

"Apabila berlaku, kami dan semua pelanggan hotel tempat kami menginap berlari turun ke bawah lalu berkumpul di kawasan lapang.

"Walaupun magnitud 5.5 skala Ritcher agak kuat tapi Alhamdulillah tiada kejadian buruk berlaku," kata Min pertama kali merasai pengalaman itu.

Bagaimana pun, pasangan suami isteri itu bersama pelanggan lain perlu menunggu lebih 10 minit untuk keadaan kembali tenang sebelum dibenarkan kembali ke bilik penginapan masing-masing.

Dalam pada itu, Julfekar pula mendakwa kejadian gempa bumi baru saja berlaku di Davao dengan magnitud 6.2 skala Ritcher, minggu lalu.

Dia beranggapan kejadian dialami mereka tengahari tadi berkemungkinan susulan kedudukan lingkaran gunung berapi yang sejajar antara Davao dan Zamboanga City.

"Buat masa ini untuk kawalan keselamatan kami memang ada pihak tentera dan polis yang sentiasa mengiringi kami selain berjaga-jaga di lokasi konsert nanti.

"Tapi untuk situasi gempa ini diharapkan tidak berterusan sebab ia semua atas kekuasaan Allah, jadi kami hanya mampu berdoa dan memohon perlindungan pada-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:16 PM