ROSYAM Nor menjawab soalan ketika sidang media pencerahan isu Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn Bhd di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PELAKON, penerbit dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Nor terkilan apabila ada pihak melemparkan tuduhan tidak berasas hanya kerana pernah menurunkan harga ayam mentah serendah 88 sen di pasar raya ST Rosyam Mart.

"Baru-baru ini, kami ada mengadakan jualan ayam mentah pada harga dianggap tidak masuk akal selama beberapa hari.

"Apabila saya turun harga, ada orang tuduh saya jual ayam curi dan yang sudah mati," katanya.

Menurut bintang filem KL Special Force itu tawaran terbabit dianggapnya sebagai sumbangan bagi membantu masyarakat.

"Cara sedemikian juga sebagai publisiti untuk menarik lebih ramai pelanggan membelanja di pasaraya ini, pada masa sama memperkenalkan ST Rosyam Mart kepada orang ramai.

"Harga murah diberikan bukan bertujuan mengaut keuntungan banyak tetapi lebih menumpu kepada jumlah jualan," katanya.

Dalam pada itu, Rosyam, 51, menganggap isu pihak tertentu mempertikaikan status ST Rosyam Mart yang tular di media sosial beberapa hari lalu sebagai hikmah.

"Saya sedih kerana komen negatif yang dilemparkan akan kekal di alam maya. Hentilah tular isu terbabit di media sosial," katanya.

Semalam, Rosyam mengadakan sidang media untuk menjelaskan tuduhan mengatakan dia bukan pemilik sebenar ST Rosyam Mart.

Pelakon itu turut membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan ayat fitnah terhadapnya termasuk menuduh bapa pengarah Sri Ternak Group, Ho Ah Chai sebagai pengedar dadah.

Sejak beroperasi di Setiawangsa pertengahan tahun lalu, ST Rosyam Mart pernah memberi beberapa promosi produk dan makanan mentah pada harga sangat rendah.

Berita berkaitan:

  • Saya bukan 'barua' Cina - Rosyam Nor [METROTV]
  • 'Tunggu esok saya jelaskan'
  • 'Alhamdulillah... bisnes dipermudahkan' [METROTV]
  • Jangan buat wakaf dosa - Rosyam
  • 'Murah bukan sebab GST sifar'
  • Rosyam Nor buka pasar raya
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 5:22 PM