SITI Nurhaliza (kiri). FOTO Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berhasrat untuk menyertai dunia politik meski minatnya kini terarah kepada aktiviti kemasyarakatan.

Siti berkata, dia mengakui bidang politik bukanlah dunianya tetapi lebih teruja untuk menghiburkan khalayak.

“Benar saya banyak terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan lebih-lebih lagi apabila saya dilantik Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni dan Warisan (Aswara) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar.

“Hati lebih senang jika saya menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian serta turun padang bertemu masyarakat untuk menjalankan aktiviti berfaedah,” katanya ketika ditemui pada rakaman siaran langsung program di Bukit Jalil, hari ini.

Ditanya berhubung ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 11 Januari ini, Siti meluahkan rasa syukur apabila diberikan kesihatan yang baik dan masih mampu menghiburkan peminat setianya.

“Alhamdulillah saya diberikan kesihatan yang baik pada usia ini.

“Selain itu saya juga bersyukur dengan kelahiran anak sulung, Siti Aafiyah pada tahun lalu,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 1:52 PM