Peminat meninjau poster konsert Min Yasmin di Filipina. FOTO Ihsan Min Yasmin
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PENYANYI, Min Yasmin, 30, mendedahkan terpaksa mengambil masa yang lama untuk berlatih sempena konsert pertamanya, 'Min Yasmin Made In Asia Concert' yang bakal diadakan di Zamboanga City, Filipina pada 12 Januari depan.

"Saya akan menyanyikan lebih 20 buah lagu yang terdiri daripada enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Tagalog, Arab, Tausug dan Sinama.

"Untuk bahasa Melayu dan Inggeris tiada masalah tetapi bahasa-bahasa lain saya perlu memastikan cara sebutan yang betul agar tidak menimbulkan isu apabila menyanyi kelak," kata Min.

Min dihubungi Harian Metro, mengaku turut berdepan cabaran kekangan masa kerana perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) ke Zamboanga City boleh mengambil masa hampir 10 jam kerana perlu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Manila kemudian dari Manila ke Zamboanga City.

Disebabkan itu, dia sudah pun berada di Zamboanga City sejak awal minggu ini kerana tidak mahu membuang masa selain meneruskan sesi mempromosi konsert itu yang turut membabitkan beberapa penyanyi undangan tempatan.

Katanya, setakat ini lebih 70 peratus tiket konsert sudah berjaya dijual dan percaya sekurang-kurang 20 ke 30 peratus lagi akan terjual sepenuhnya menjelang hari konsert.

Min yang mula popular di negara itu melalui lagu Sa Iyo berduet bersama Nikki Bacolod selain dua album solo sejak 2015, berkata konsert itu pada awalnya dijadualkan berlangsung pada November tahun lalu.

"Tapi waktu itu ada banyak festival besar ditambah pula dengan 'Soul Day' yakni hari masyarakat di sana memperingati roh mereka yang meninggal dunia.

"Selain itu majoriti masyarakat di sana sibuk dengan sambutan Krismas yang dirai selama hampir tiga bulan bermula sejak awal November," katanya.

Dalam pada itu, Min Yasmin bersyukur kerana sudah mendapat tawaran untuk mengadakan konsert jelajah seluruh Filipina selama tiga bulan selepas tamat konsert di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 5:26 PM