XPDC dan May bergabung pada akhir persembahan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Demi peminat bola sepak tempatan, penganjur Konsert Metal Return 1.0 Live XPDC MAY, Ladyboss Studio sanggup melewatkan konsert di Stadium Perak, Ipoh kerana bertembung dengan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam di Hanoi, Sabtu lalu.

Mahu atau tidak, penganjur terpaksa melewatkan konsert yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam kepada 10.30 malam sebaik perlawanan bola sepak tamat.

Dalam masa sama, skrin gergasi yang disediakan di tepi pentas serta skrin di stadium dimanfaatkan dengan menayangkan perlawanan bola sepak terlebih dulu sebelum konsert bermula.

Kehadiran lebih 3,000 peminat pada malam itu dianggap memadai memandangkan situasi sekarang menyaksikan penganjuran konsert di Ipoh gagal mendapat perhatian peminat.

Senario itu agak berbeza berbanding era 1980-an dan 1990-an yang menyaksikan konsert rock di Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia yang terletak bersebelahan sering mencatat kehadiran penonton yang ramai.

Sebaik wisel penamat ditiup pengadil dalam final di Hanoi, anggota MAY iaitu Mus (penyanyi), Abu (gitar), Yus (bass) dan Man (drum) yang sudah bersedia di atas pentas segera memulakan persembahan dengan lagu-lagu terawal mereka iaitu Pahlawan Mimpi, Trajedi, Keadilan dan Derita Bangsa.


AKSI Mus dan Yus di atas pentas.

Persembahan diadakan secara berselang seli menyaksikan giliran XPDC pula menghiburkan peminat dengan lagu Akhlak, Bahlol, Kita Peng Yu dan Akhir Zaman.

MAY kembali semula di atas pentas dengan lagu Gitar Karat, Strategi dan Sinar. Secara kebetulan semua anggota MAY demam pada malam itu.

Bagaimanapun ia bukanlah alasan untuk mereka tidak tampil dengan persembahan menarik dan bertenaga. Seterusnya mereka membawakan lagu yang cukup dekat dengan peminat MAY seperti Dari Kacamata, Cintamu Mekar Di Hati dan Hakikat Perjuangan.

Peminat di Ipoh seakan merindui kelibat kumpulan yang berasal dari Manjoi itu selepas lama tidak beraksi di laman sendiri dalam konsert besar begini.

Mereka terhibur dan ‘sporting’ apabila menggoyangkan kepala setiap kali Mus menyanyikan lagu rancak. Tidak terkecuali mereka turut menyanyi bersama Mus menerusi lagu popular Cintamu Mekar Di Hati.


SEBAHAGIAN penonton yang hadir di konsert ini.

XPDC yang dianggotai Ali (penyanyi), Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (drum) pula terus menghiburkan dengan lagu Rahmah, Sakinah, Tak Nak Jadi Soh Chai dan Senapang Patah.

Tidak ketinggalan mereka turut menyampaikan lagu Orang Timur, Talam Dua Muka, Selendang Merdeka, Sentosa dan Doa.

XPDC juga hebat dan tidak kelihatan langsung tanda-tanda mereka kepenatan kerana faktor usia.

Nyanyian Ali yang bertenaga serta pemainan muzik yang mantap daripada anggota lain benar-benar memberikan kepuasan maksimum kepada peminat.

Sebelum mengakhiri persembahan pada jam 1 pagi, MAY tampil dengan lagu Gadis Bertudung Putih, sementara XPDC dengan lagu Semangat Yang Hilang.

Ali yang ditemui selepas konsert lega apabila segala perancangan untuk konsert itu berjalan lancar.


PERSEMBAHAN XPDC memukau peminat.

“Syukur peminat tetap datang memberikan sokongan terhadap konsert ini. Malah mereka tetap bertahan di barisan pertama untuk terus menonton sehingga akhir,” katanya.

Mus pula lega dapat memuaskan hati peminat biarpun situasi mereka kurang sihat.

“Syukur kerana peminat termasuk dari Singapura, Sabah dan Sarawak turut datang menyokong,” katanya.

Wakil penganjur, Nithianandan M atau Nathan berkata, dia berpuas hati dengan sambutan yang diberikan peminat.

“Ini percubaan pertama kami dan amat menggembirakan kerana persembahan artis mantap dan padu, manakala penonton pula terhibur. Semua pihak mahu Metal Return diteruskan sebagai acara tahunan dan kami akan menganjurkannya lagi selepas ini,” katanya.


PEMENANG hadiah kereta Perodua Myvi, Mohd Azahari Othman.

Selain konsert, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah kereta dan motosikal. Empat pemenang bertuah ialah Mohd Azahari Othman yang memenangi kereta Perodua Myvi, Suhairizal Abd Hamid (motosikal Ego Solariz), Mohd Faizal Kamaruzzaman (Yamaha y15) dan Muhammad Azfar Afiq Hasmi (Honda RS).


PEMENANG cabutan bertuah motosikal Honda RS, Muhammad Azfar Afiq.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 10:00 AM