LAN Solo (tengah) bersama bekas ahli kumpulan Kristal, Ijan (kiri), Ainol, Izal dan Amai pada majlis sidang media Lan Solo Nexk Level di Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PENYANYI Lan Solo atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, teruja bakal mengadakan showcase Lan Solo Next Level (LNSL) pada tahun hadapan.

Lebih menggembirakan, LNSL turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas kumpulan Kristal iaitu Ainol, Ezan, Ejal, Amai dan Joe yang turut sama-sama membuat persembahan.

"Ketika masih bersama Kristal, saya menyimpan impian untuk mengadakan persembahan skala besar. Walaupun jodoh bersama kumpulan tidak panjang tetapi saya teruskan juga dengan impian itu.

"Saya kemudian buat keputusan untuk menjadikan pentas itu untuk bergabung semula dengan bekas-bekas anggota Kristal bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat kami ahli lama Kristal mengadakan persembahan bersama-sama.

"Tambahan pula, ketika saya mengumumkan untuk bergerak solo, mereka adalah antara orang-orang pertama yang menghubungi saya dan berikan kata-kata semangat," kata Lan.

Dua puluh tahun dalam industri, Lan ingin meraikannya dengan mengadakan showcase Lan Solo Next Level khas buat peminat yang menyokong perjalanan kariernya dari zaman kanak-kanak hingga kini.

Showcase itu juga diadakan bagi mengutip derma buat badan amal Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam).

"Kini saya lebih dikenali dengan nama pentas Lan Solo. Jadi, dengan nama itulah saya mahu letakkan diri ke peringkat lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Sebagai penyanyi, saya perlu ada cita-cita yang besar dan hala tuju. Mudah-mudahan, dengan showcase ini lebih banyak lagi rezeki dan peluang besar untuk saya dan keluarga.

"Saya berharap perjalanan showcase ini akan berjalan lancar apatah lagi LSNL bukan bertujuan hiburan semata-mata tetapi sebahagian hasil kutipan akan disalurkan ke Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam)," katanya.

Showcase LSNL dengan kerjasama Dewan Tuanku Abdul Rahman, Matic bakal berlangsung pada 2 Mac 2019 di Matic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 3:24 PM