MOKHARUL (empat dari kiri) dan Eyra (kiri) bersama barisan pelakon ketika majlis doa selamat filem itu. FOTO Shahril Badri
Noriza Sainal
am@hmetro.com.my

Walaupun lebih dikenali dengan genre komedi romantik, pengarah berbakat Eyra Rahman menyahut cabaran tampil dengan genre suspens thriller menerusi filem terbaru, M4M4 tahun depan.

Eyra berkata, dia memilih untuk menghasilkan filem bergenre suspens thriller kerana ia juga antara genre diminatinya selain kisah cinta seperti dalam drama arahannya sebelum ini.

“Penghasilan filem seperti ini dapat menguji tahap pemikiran saya untuk menghasilkan sesuatu naskhah. Apabila ia menguji serta mencabar minda, saya menjadi tertarik terhadapnya.

“Selain itu, filem sebegini dipilih kerana saya berasa ia dekat dengan isu wanita, maruah dan perasaan seperti kesedihan wanita itu sendiri,” katanya.

Filem M4M4 yang bakal menjalani penggambaran bulan ini menggandingkan Faizal Hussein dan Nabila Huda selaku teraju utama.

Turut berlakon Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.

MENAMPILKAN gandingan Faizal dan Nabila. FOTO Shahril Badri

Ditanya mengenai judul filem ini, Eyra berkata, M4M4 bermaksud ‘Mati Empat Orang, Mati Empat Orang’, tetapi disebut sebagai ‘Mama’ dan menggabungkan pelakon lama dan baru.

“Selain Faizal dan Nabila selaku ‘orang lama’, kami mahu berikan peluang buat pelakon baru, sekali gus dapat membantu mereka pergi lebih jauh dan menaikkan nama mereka,” katanya.

Sementara itu, penerbitnya, Datuk Mokharul Shamsul Mokhtar berkata, ruang untuk berkarya dan menerbitkan filem lebih besar itu dilakukan selepas melihat hasil filem terbitan mereka sebelum ini iaitu Jodoh Syaitan.

EYRA Hazali. FOTO Shahril Badri

“Jika diikutkan, pasaran filem tempatan tidak menentu. Namun, dengan kejayaan beberapa filem tempatan mencatat kutipan tinggi dan mencetuskan fenomena, ia memberi semangat dan keyakinan kepada kami.

“Jodoh Syaitan saya anggap ia sebagai pemanas badan dan kali ini kami lebih bersedia menerbitkan M4M4 yang menampilkan barisan pelakon hebat.

“Dari segi pemilihan pelakon, tidak dinafikan Nabila menjadi pilihan kami ketika skrip dihasilkan. Malah, Nabila hampir menolak tawaran kami kerana jadualnya yang padat, namun akhirnya rezeki berpihak kepada kami.” katanya.

BELLA Dowanna. FOTO Shahril Badri

Mokharul berkata, Eyra menjadi pilihan sebagai pengarah kerana dia calon paling sesuai berdasarkan statusnya sebagai ibu selain banyak mengarah filem sebelum ini.

M4M4 mengisahkan dua beranak iaitu Alya (lakonan Bella Dowanna) dan ibunya, Aini (Nabila) hidup tenteram di rumah kecil mereka, namun apabila mereka diganggu tiga lelaki, pelbagai tragedi menimpa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:00 PM