Gobind lontar cabaran agar penggiat seni berani hasilkan karya mampu tembusi pasaran antarabangsa. FOTO BERNAMA
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo melontarkan cabaran supaya penggiat industri seni tanah air berani menghasilkan lebih banyak karya atau kandungan tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.


Gobind (tengah) bersama Samsuni (dua, kanan), Timbalan Pengerusi Finas Affendy Ali Dally (kiri), Pemangku Ketua Pengarah Finas Shakib Ahmad Shakir (dua,kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab (kanan). FOTO BERNAMA

Beliau yakin karya tempatan mempunyai kekuatan tersendiri kerana penonjolan indentiti tempatan yang diadun dengan nilai universal dan kualiti pembikinan hingga berjaya menembusi ke seluruh dunia.

Katanya, filem ikonik pecah panggung seperti Munafik 2, Hantu Kak Limah, Paskal dan Polis Evo 2 misalnya berjaya membina impak penontonan luar biasa dengan mengatasi filem import.

“Kita juga tidak sekadar ingin menjadi jaguh di gelanggang sendiri, malah perlu berani membangunkan pasaran kita sebagai komoditi eksport. Kajian data oleh FINAS untuk 2018, hampir 90 filem pelbagai format dan genre menembusi pasaran global melalui tayangan, penyertaan, pencalonan dan 37 daripadanya meraih kemenangan di festival filem antarabangsa," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX), di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.

Hadir sama Pengerusi FINAS, Datuk Samsuni Mohd Nor; Pemangku Ketua Pengarah FINAS, Shakib Ahmad Shakir dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Yasmin Mahmood.

Menurut Gobind, filem adalah medium pelaburan jangka panjang dan pihaknya berbangga atas beberapa kejayaan industri filem Malaysia dalam usaha membina sebuah 'jenama' yang berdaya saing dan bertaraf global.

“Saya difahamkan eksport pemasaran kandungan tempatan keluar negara tahun ini mencapai nilai pelaburan RM101.48 juta berbanding RM82.54 pada 2017.

“Sementara itu, secara keseluruhan filem tempatan merekodkan kutipan RM165.34 juta bagi 51 filem berbanding tahun lalu, hanya RM59.92 juta untuk 59 filem," katanya.

Beliau berkata, kejayaan filem Hollywood, Crazy Rich Asians dengan kutipan USD$238 juta (kira-kira RM993.4 juta) yang turut menerima Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) selain tercalon untuk Anugerah Golden Globes, membuktikan usaha berterusan untuk meletakkan Malaysia di peringkat global memerlukan pemasaran efektif dengan kos besar.

“Filem tempatan yang mendapat insentif FIMI seperti Ola Bola, Polis Evo 2 dan Mrs K juga membuktikan impak 'pelancongan cinematik' mempromosikan negara ke pasaran luar," katanya.

Sementara itu, Gobind menyifatkan pelancaran portal MCIX adalah penanda aras potensi kemajuan yang akan dilaksanakan tahun depan.

Katanya, pelancaran itu amat penting dalam memacu industri kreatif negara selaras objektif kementeriannya antara lain membangunkan ekonomi digital.

“Pelancaran MCIX sebagai hab jaringan data industri adalah manifestasi penting 'data king' sebagai 'bahan api' digital ekonomi.

“Ia berpotensi untuk dikembangkan menjadi platform yang akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri pada masa depan berdasarkan jumlah pengunjung yang merujuk laman ini. Justeru saya menyeru penggiat industri terutamanya presiden persatuan menyemarakkan MCIX supaya menjadi hab tumpuan mendapatkan maklumat berkaitan," katanya.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sijil 'Spotlight' sebagai penghargaan kepada 10 filem cereka tempatan di peringkat global iaitu Redha, Shuttle Life, Adiwiraku, Sughammai Subbulakshmi, Thottam, The Garden, Interchange, Guang, A House of Happiness, Aqerat dan One Two Jaga yang diwakili penerbit dan pengarahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 9:01 PM