MIRA Filzah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON dan pengacara, Mira Filzah menafikan dia sudah tidak menjadi pengikut Instagram (IG) pelawak dan pelakon, Zizan Razak, ekoran timbul dakwaan mengatakan Mira sudah ‘unfollow’ Zizan di IG kerana pengacara Nona itu kini rapat dengan pelakon Remy Ishak.

Mira, 25, ketika dihubungi berkata, dia dengan Zizan masih lagi berkawan sampai sekarang dan mereka okay saja.

“Mana ada saya ‘unfollow’ Zizan. Tak ada apa-apa. Saya dan Zizan masih berkawan dan tak ada apa pun yang berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan dengan Remy, Mira berkata, dia dan Remy sudah empat kali berlakon bersama pada tahun ini sejak Jun lalu.

“Gandingan pertama kami menerusi filem Sangkar dan diikuti filem Rise: Ini Kalilah. Kemudian, kali ketiganya kami berlakon pula dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan dan keempat, Pujaan Hati Kanda.

“Apapun, kami tidak bercinta tapi memang berkawan sebab bekerjasama. Lagi pun, macam mana nak bekerjasama kalau tanpa berkawan.

“Mungkin dengan hubungan kawan itu, kita jadi selesa untuk bekerjasama. Itu saja, memang tak ada apa-apa pun.

“Nak kata rapat pun, tidak. Hubungan kami hanya dasar rakan sekerja di satu tempat. Itu saja dan tidak ada lebih-lebih pun,” katanya tegas.

Ditanya juga mengenai perwatakan Remy yang serius, Mira mengakuinya.

“Betul, Remy seorang yang serius. Namun, pada pandangan saya, dia (Remy) sangat komited dan profesional kalau bekerja.

“Tetapi, dia juga boleh dikata sangat mesra orangnya di set penggambaran. Tak adalah, dia bersikap terlalu serius sangat,” katanya.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman memberitahu Remy juga senang berkomunikasi dan dibawa berbincang.

Sehubungan itu, drama Pujaan Hati Kanda arahan Eoon Shuhaini akan disiarkan slot Akasia di TV3 pada Disember ini.

Selain Mira dan Remy, drama ini dibintangi pelakon seperti Sarah Hildebrand, Syazwan Zulkifly, Elisya Sandha, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 3:33 PM