Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Mungkin agak keterlaluan untuk membandingkan Joe dengan pemain gitar legenda dunia, Yngwie Malmsteen yang mengadakan konsert di Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya hebat kerana mempunyai pesona tersendiri yang berupaya menarik peminat untuk hadir menyaksikan persembahan mereka.

Jika Malmsteen membuktikan kehebatannya dengan kejayaan mengadakan persembahan di Yayasan Hall, Menara PGRM, Kuala Lumpur baru-baru ini, Joe pun apa kurangnya apabila berjaya membuatkan suasana di pusat hiburan popular Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur penuh sesak dengan peminat yang teruja menyaksikan persembahan solonya iaitu The Best Of Joe, malam kelmarin.

Dengan pengalaman 32 tahun sebagai pemain gitar, penerbit album dan komposer, bekas pemain gitar Wings berusia 49 tahun ini berjaya mencorakkan persembahan yang julung kalinya diadakan ini dengan elemen menarik sehinggakan peminat tidak berganjak hingga persembahan berakhir.

Ia turut menampilkan anggota PrimeD yang sebelum ini dikenali sebagai Prime Domestic iaitu Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Zul, penyanyi yang aktif di kelab bersama kumpulan Electric 5 dan Aidi, pemain keyboard daripada kumpulan Soul Statue sebagai penyanyi kedua.

Tepat jam 10.30 malam, persembahan The Best Of Joe dibuka dengan lagu ciptaan Joe untuk kumpulan Wings iaitu Watari, Julang Timur Tengah dan Enigma.


JOE banyak membawa lagu Wings ciptaannya.

Pemilihan lagu ini memberi impak buat peminat setia Joe untuk terus menanti persembahan seterusnya.

Ternyata mereka tidak dikecewakan apabila Joe memilih lagu Satelit Puaka, Biru Mata Hitamku, Padamkan Lampu Tidurmu, Puisi Merdeka dan Gegar Gunung Gemora.

Tidak ketinggalan Joe turut memainkan lagu Ranggi Metropolis, Lipas Kudung, Gua Henjut Aje dan Nasib Kita.

Lagu ini menggambarkan sisi unik Joe yang sentiasa menghasilkan lagu berentak berat dan pantas yang diterima peminat.

Walaupun berkonsep solo, Joe tidak bersendirian dalam persembahan ini kerana jentera pasukannya turut memainkan peranan berfungsi dengan baik.

Zul menggunakan pengalaman luasnya beraksi di kelab bagi menampilkan kualiti vokal yang konsisten dan menepati cita rasa peminat.

Begitu juga Ainol, Rozaimi dan Aidi yang saling berinteraksi dalam permainan mereka, sekali gus menampilkan satu persembahan yang bertenaga.

Persembahan semakin hampir ke penamat namun peminat masih mahu terus menikmati petikan gitar Joe dan tidak kelihatan tanda mahu pulang.


JOE diiringi pemuzik berbakat besar seperti Ainol, Rozaimi, Aidi dan Zul.

Mereka seterusnya disajikan dengan lagu Jumpa Hilang, Gadis Melayu dan Peronda Jaket Biru.

Lagu Sejati dan Keris Tak Bersarung menjadi lagu pilihan terakhir sebelum persembahan tamat menghampiri jam 1 pagi.

Idea yang sudah lama dipendam dan difikirkan Joe akhirnya direalisasikan dengan kerjasama JJ Rochestra dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:38 PM