JULIA Farhana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


“KAMI masih lagi bersama sebagai pasangan kekasih.”

Itu apenjelasan daripada pelakon, Julia Farhana, 26, ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan pelakon, Erwin Dawson, yang dikatakan sudah tamat.

Menurut Julia, kepincangan yang berlaku dalam hubungan kedua-dua mereka adalah sesuatu di luar jangkaan, namun, semuanya sudah kembali seperti biasa.

"Dalam hubungan cinta, tentunya ada naik dan turun. Sejujurnya, ada satu insiden yang terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Namun, ia menggugat hubungan kami pada ketika itu.

"Selepas insiden itu berlaku sekitar Oktober lalu, kami tidak bersua muka selama sebulan," katanya kepada Harian Metro.

Julia yang ditemui di Festival Anggun Life anjuran Media Prima berkata, perbincangan antara mereka meleraikan segala kesulitan yang berlaku.

"Kami berbincang dan dia sendiri pun sudah membuktikan bahawa dia benar-benar cintakan saya. Dia juga nampaknya sudah berubah kepada seorang yang lebih baik.

"Saya tak menghakimi dia di saat dia melakukan kesilapan kerana saya yakin, setiap manusia ada melakukan kesilapan dan saya berikan peluang kedua kepada hubungan ini," katanya.

Ditanya sama ada dia dan Erwin akan mendirikan rumah tangga menjelang 2019, Julia berkata, dia perlu fikirkan banyak perkara.

"Tahun depan, saya ada banyak perancangan untuk kehidupan dan karier saya. Jadi, rasanya belum masa yang tepat untuk kami mendirikan rumah tangga.

"Kami pun perlukan lebih banyak masa untuk saling mengenali antara satu sama lain," katanya.

Penghujung November lalu, Erwin menerusi Instagram Story di akaun Instagramnya menulis beberapa kenyataan yang menggambarkan penamat kepada hubungan cinta mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 7:25 PM