AWIE. Foto ROHANIS SHUKRI
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


SEJAK lahir sehingga kini berusia 50 tahun, Awie tidak pernah membotakkan kepala.

Namun, sepanjang mengerjakan umrah dari 18 hingga 29 November lalu, penyanyi dan pelakon itu akhirnya tampil dengan imej berkenaan ketika di Makkah.

Awie berkata, pada mulanya dia berasa janggal dan segan melihat dirinya berkepala botak.

“Saya tak nak tengok sebab saya tak pernah botak. Kali pertama tengok, muka seperti bola.

“Selepas habis bercukur, saya angkat muka tapi masih tutup mata kerana di depan itu cermin. Saya tak mahu tengok cermin,” katanya.

Katanya, selepas proses bercukur, hampir satu setengah hari dia tidak melihat wajahnya di cermin.

“Apabila masuk ke bilik air, saya tutup kepala dengan ‘snow cap’, tapi tak dinafikan belakang kepala terasa ringan,” katanya.

Menurut Awie, pada hari kedua barulah dia memberitahu isterinya Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin mengenai imej barunya itu.

Katanya, sepanjang di Makkah keadaan kesihatannya sangat baik sekali gus membolehkan dia menjalankan ibadah dengan lancar.

“Saya langsung tak rasa sakit. Saya boleh berlari dan boleh buat tiga kali umrah dan boleh buat segala-galanya. Makanlah apa saja pun semuanya ok. Namun, apabila kembali ke tanah air, satu hari saya berasa penat.

“Hari kedua di sini, saya mengalami buang air besar berdarah dan kedua-dua kaki juga tak boleh bergerak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 9:22 PM