HARUKA Nakagawa. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


ARTIS Jepun, Haruka Nakagawa, 26, menyimpan impian untuk mencuba nasib dalam industri seni Malaysia.

Haruka yang menetap Indonesia juga menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan artis tempatan.

“Buat masa sekarang, saya belum ada single tapi kalau ada rezeki dan punya ruang untuk saya berkolaborasi dengan artis Malaysia, saya tidak akan menolak,” katanya.

Menurut bekas anggota kumpulan JKT48 yang juga pernah menjadi pengguna Twitter wanita paling berpengaruh di dunia pada tahun lalu itu lagi, dia terbuka untuk mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Saya sudah enam tahun menetap di Indonesia dan kini, saya ingin pergi lebih jauh lagi. Kalau boleh, saya ingin mencipta nama di negara-negara Asia yang lain juga.

“Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu rasanya tidak banyak beza dan saya yakin, kalau saya belajar, saya boleh menguasainya. Begitu juga dengan Bahasa Inggeris yang sememangnya penting,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut artis yang diuruskan oleh Dentsu X itu lagi, dia juga berterima kasih kepada pihak pengurusannya.

“Dentsu adalah satu jenama besar yang mempunyai cawangan di banyak negara. Jadi, rasanya ia umpama satu peluang keemasan untuk saya mencuba nasib di negara-negara lain juga,” katanya.

Di Indonesia, karier seni Haruka lebih berkembang ke arah dunia pengacaraan dan komedi selepas bergerak sebagai artis solo.

Terbaru, Haruka baru saja membintangi drama siri web berjudul Onigiri dan masih lagi bergelar pengacara bersama untuk rancangan Ini Talkshow di Indonesia.

Foto Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 6:29 PM