BARISAN pelakon Pokok (dari kiri) Buyung, Ebby Saiful, U-Wei, Haliza dan Rahim.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Perkara pertama bermain di fikiran pengarah, U-Wei Saari dalam latihan teater Pokok ketika ini adalah masa.

Apatah lagi teater yang bakal dipentaskan malam esok adalah teater terbaru arahannya selepas 10 tahun.

Antara teater arahannya yang pernah dipentaskan adalah Bakai dan Main Api pada 1998 serta Wangi Jadi Saksi (2008).

“Saya diberi tempoh sebulan saja selain kena sediakan perkara lain seperti pencahayaan dan bunyi,” katanya.

Baginya, tempoh sebulan tidak cukup dan mengakui dia seorang yang lambat kerana percaya semua naskhah perlu diteliti.

U-Wei berkata, disebabkan perkara itu juga dia perlu bersabar dengan masa. Dia juga tidak mahu mengorbankan elemen tertentu di dalam teater ini semata-mata mahu mencukupkan masa diberi.

Saya jarang berkompromi dengan pegangan atau pola fikiran yang saya mahukan walaupun sering kali tertiarap.

Berkarya ini adalah seni berkompromi tapi seperti juga yang lain, ia perlu ada kadarnya. Sampai satu peringkat boleh berkompromi atau tidak tapi sifat berkarya itu sendiri adalah berkompromi, katanya mengenai teater tulisan Tan Sri Johan Jaaffar itu.

Selain cabaran masa, legasi U-Wei dan Johan juga memberi sedikit tekanan kerana semestinya ramai penggiat serta peminat teater amat menantikan naskhah ini.

Katanya, sebagai seorang seniman, dia hanya melakukan apa yang menjadi pegangan selama ini dan tidak boleh menjamin semua orang untuk bersetuju.

Apabila membaca pasal Pokok, ia senang dan sedap dibaca tetapi sangat mendalam, itu juga cabarannya. Kalau sedap dibaca tetapi tidak sedap didengar, saya juga akan dipersalahkan. Sesuatu naskhah teater itu perlu dipentaskan, bukan dibaca, katanya.

Pemerhati dan peminat karya U-Wei tahu pengarah ini sangat sensitif dari segi pemilihan pelakon yang dikehendakinya.

Ditanya dari sudut itu, pengarah filem Hanyut dan Jogho ini mengakui berpegang kepada pendapat pengarah yang bagus sebenarnya bergantung kepada pelakon.


HALIZA dan Ebby Saiful (duduk) mendengar teliti arahan U-Wei, sambil diperhatikan penolong pengarah, Dr Rosdeen Suboh.

Saya beruntung dapat Haliza Misbun yang sangat berbakat dan dia seorang yang pemurah dengan teman pelakon. Dia sangat menjiawai watak walaupun ini kali pertama saya bekerja dengannya, katanya.

U-Wei berkata, kali pertama ternampak kelibat Haliza dalam sebuah filem, nalurinya terus berkata Haliza ada ëbendaí itu.

Saya tidak ingat filem apa tapi kadang-kadang banyak pelakon tidak mendapat kenderaan yang bagus tetapi nampaknya mempunyai ‘pemandu’ yang okey. Haliza adalah pilihan pertama saya kerana saya memang memilih pelakon,katanya.

Haliza, Rahim pertama kali dengan U-Wei

Haliza, 45, mengakui apabila mendapat tahu ditawarkan watak utama teater Pokok daripada adiknya, Amanda, dia tidak ambil serius.

Bagaimanapun, selepas dimaklumkan mereka berusaha mendapatkannya melalui pelbagai cara, dia mula berfikir kenapa perlu kata tidak kepada U-Wei?

Walaupun pada awalnya tidak ambil serius tapi dalam hati masih berbunga-bunga! katanya.

Selama sebulan berlatih, pelakon ini mengakui cabaran utamanya adalah masa kerana pada waktu sama dia terbabit dalam penggambaran drama 30 episod Syurga Tak Sempurna 2.

Apatah lagi dia kini menjalani latihan teater setiap malam kerana sebelah siang pula perlu berada di set drama.


ANTARA babak yang bakal dipertontonkan dalam Pokok.

Penat dan stres itu biasa tetapi penting sebab ia akan ‘menolak’ kita sampai ke penghujung. Ada saja perkara baru yang dikongsi oleh pengarah.

Dia memberi kebebasan kepada pelakon tapi masa sama turut memantau perwatakan mengikut acuannya, katanya yang membawa watak Mardiah.

Haliza mengakui teater ini ada tarikan yang sangat kuat kerana U-Wei dan Johan ialah figura besar dalam industri seni tempatan.

Oleh itu, dia menyifatkan pembabitannya di dalam Pokok adalah satu tanggungjawab besar dan tidak boleh gagal.

Rahim Jailani, 59, yang memegang watak Tuk Kaya pula sudah biasa bekerja dalam karya Johan ketika aktif dalam drama Panggung RTM sekitar 1980-an.

Namun, ini adalah kali pertama dia berlakon di bawah arahan U-Wei.

Saya sudah lama tidak berteater, kali terakhir lebih dua dekad lalu sehinggalah U-Wei telefon dan mengajak saya kembali.

Untuk naskhah ini, skrip bagus adalah boleh ada nyawa di dalamnya. Setiap orang ada pendapat sendiri tetapi ia masih menuju ke asas yang sama, katanya.

Rahim akui sehing­ga kini rasa gementar kerana mempunyai gandingan yang hebat di pentas Pokok kelak.

Katanya, istimewa Pokok adalah hanya ada tiga babak dan dia terbabit dalam babak ketiga.

Bagi saya, ia kekuatan yang menakutkan sebab Pokok adalah sepenuhnya mengenai lakonan, katanya.

Pokok mula dipentaskan jam 8.30 malam esok hingga 16 Disember ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Ia juga akan dipentaskan pada jam 3 petang (matinee) pada 8, 9, 15 dan 16 Disember.

Selain Haliza dan Rahim, teater terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd turut membariskan pelakon Ebby Saiful dan Buyung Zasdar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:56 AM