NORA Danish bersama anaknya, Ney Ney. FOTO Ihsan Kaki Foto
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON, Nora Danish memberitahu jika ada rezeki, dia merancang untuk mengandung lagi dan berharap dikurniakan anak perempuan pula.

Nora, 36, ketika ditemui berkata, walaupun kini kehidupannya sudah lengkap dan bahagia dengan kehadiran tiga anak lelaki, namun tetap ingin memiliki anak perempuan juga.

"Kalau dapat seorang pun jadilah. Tetapi, perancangan untuk mengandung lagi bukanlah dalam jangka masa terdekat ini kerana anak bongsu saya, Mohamed Neqayl Nedim (Ney Ney), baru berusia sembilan bulan.

"Ney Ney pun masih kecil lagi dan dalam proses membesar. Alhamdulillah, yang penting Ney Ney membesar dalam keadaan sihat.

"Dia (Ney Ney) pun sekarang kuat makan dan senanglah menguruskan penjagaan hariannya. Suami saya, Nedim Nazri juga banyak membantu," katanya.

Menurut Nora, kini dia juga lebih selesa memberi tumpuan pada keluarga sebagai keutamaan, manakala urusan kerjaya pula sudah menjadi perkara kedua.

Mengulas mengenai penerimaan baik netizen kini terhadap Ney Ney yang pernah dikecam dahulu, Nora berkata, dia gembira dan melihat positif.

"Biasalah, dalam dunia teknologi masa kini sesiapa saja boleh mengata apa-apa. Saya lebih selesa tak ambil peduli mengenainya.

"Saya sudah lali dengan pelbagai kecaman yang dilemparkan sebelum ini dan sekarang selesa membiarkan saja dan tidak pedulikan langsung.

"Sekarang, saya sudah ke tahap tak payah peduli. Nak kecam atau apa, suka hati mereka. Biarkan saja, asalkan mereka puas," katanya.

Ujar pelakon mencipta nama menerusi sitkom Puteri, dia kini boleh terima segala kecaman netizen yang dilemparkan kepada dirinya di laman sosial.

Nora yang memiliki 5.6 juta pengikut di Instagram (IG) berkata, dia sudah cukup bersyukur kini apabila Allah SWT mengurniakannya keluarga yang bahagia.

Terdahulu, Nora hadir melancarkan produk kosmetik Oh Most Wanted yang diasaskannya yang kini sudah memasuki pasaran tempatan di rangkaian farmasi terkenal di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 5:09 PM