HAFIZ Hamidun. FOTO arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


PENYANYI Hafiz Hamidun, 34, hampir berdepan detik cemas apabila peminat wanita misteri tiba-tiba muncul di pejabatnya, kelmarin.

"Wanita itu datang ke pejabat dengan mengenakan purdah hitam mendakwa seolah-olah saya mengenali dia dan kebetulan ketika itu saya tiada di pejabat.

"Oleh kerana saya tiada, dia meninggalkan nombor telefon dan namanya untuk saya menghubunginya semula.

"Dia mendakwa saya mengenalinya dan pernah merancang untuk berkolaborasi projek dengan artis Kpop," kata Hafiz.

Penyanyi dikenali melalui album Zikir Terapi itu berkata, selepas diselidik wanita itu pernah menulis status ‘pelik' di laman Twitter mengaitkan dirinya dengan wanita itu.

Antara kandungan dalam status itu adalah dia mendakwa berada bersama Hafiz pada ketika itu.

Malah wanita itu juga pernah dilaporkan memuatnaik status menganut tiga agama yang sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada pengikut di laman sosial sama.

Katanya, rentetan kejadian itu, Hafiz ada memuat naik status di laman Twitter meminta bantuan masyarakat mencari keluarga wanita itu agar dapat dibantu.

Pun begitu, Hafiz terpaksa memadamkan status berkaitan wanita itu selepas kebanyakan pengikut mula mengaitkan wanita terbabit mengalami masalah mental.

"Ahli keluarga wanita itu ada menghubungi pengurusan saya namun cukup mengecewakan apabila mereka melabel saya sebagai artis sampah kerana sengaja menularkan kisah wanita itu.

"Padahal saya mahu membantu selepas mendapat tahu keluarga wanita itu sudahpun membuat laporan polis selepas dia dipercayai melarikan diri dari rumah pada 13 November lalu," katanya.

Hafiz ketika dihubungi mendakwa berdasarkan perbualan dengan ahli keluarga wanita itu, berkemungkinan mereka ada masalah dalaman.

Disebabkan itu, dia enggan masuk campur kerana bimbang akan menjadikan isu ini lebih panjang.

"Apa boleh saya katakan, saya bersimpati dengan masalah keluarga wanita itu dan berharap dapat diselesaikan dengan baik," katanya lagi.

Bagaimana pun, Hafiz tidak mahu membuat laporan polis dan akan memastikan kakitangan di syarikatnya lebih menitikberatkan isu keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 1:57 PM