JESSICA meraih markah purata 'Metacritic' sebanyak 39. FOTO/AGENSI
Agensi

LOS ANGELES: Pelakon Jessica Alba dan Mike Epps mengetuai senarai yang tentunya mahu dielakkan mana-mana selebriti Hollywood sebagai paling banyak membintangi filem paling teruk sejak 20 tahun lalu.

Laporan itu berdasarkan kajian firma Verve di London bagi laman web penyelidikan Go Compare bertujuan menawarkan bukti secara statistik bahawa ada pelakon tidak dapat mengelak daripada membintangi filem yang teruk setiap kali berlakon.

Alba meraih markah purata 'Metacritic' sebanyak 39 membabitkan semua filem yang dibintanginya sejak dua dekad lalu, sedikit lebih baik berbanding Epps yang meraih 38.3 markah.

'Metacritic' adalah satu laman web popular yang menganalisis sesebuah filem dan memberikan markah kepadanya.

Epps mengatasi pelakon Kevin Pollak yang menerima markah 38.5 peratus, untuk berada di tempat pertama bagi kategori aktor lelaki. Malah, hanya lima peratus daripada filem yang dibintangi Epps, Pollak dan Alba mendapat pujian pengkritik.

Verve mentakrifkan filem yang baik sebagai yang meraih markah 'Metacritic' melebihi 60 peratus. Jessica Biel menduduki tempat kedua selepas Alba dengan markah 41.6 peratus selepas membintangi filem seperti 'The A-Team,' 'I Now Pronounce You Chuck & Larry' dan 'Powder Blue.'

Di tempat ketiga ialah Heather Graham diikuti Radha Mitchell dan seterusnya, Kathy Bates. Bagi kategori lelaki, di tempat kedua ialah Josh Duhamel diikuti Robin Williams dan Gerard Butler.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:24 PM