PRODUKSI Asia Tropical Films dan pelabur filem Paskal menyampaikan cek RM100,000 kepada Tabung Kebajikan TDLM dalam majlis penghargaan yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PRODUKSI Asia Tropical Films dan pelabur filem Paskal menyampaikan cek RM100,000 kepada Tabung Kebajikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) dalam majlis penghargaan yang berlangsung di ibu kota, hari ini.

Sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada TLDM atas sokongan berterusan bagi menjayakan karya mengetengahkan perjuangan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Cek disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dalam ucapan ringkasnya, pengarah filem Paskal, Adrian Teh berkata, sumbangan itu diberikan bagi membalas jasa TLDM.

“Pihak TLDM memberi banyak sokongan untuk pembikinan filem ini. Sebagai tanda terima kasih, kami membalas dengan menganjurkan majlis penghargaan kepada anggota TLDM,” katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima PASKAL Laksamana Pertama Anuar Alias.

Sementara itu, Adrian berkata, buat sekarang belum ada perancangan untuk menghasilkan filem kedua Paskal mahupun memberi bonus kepada barisan pelakon.

“Ramai bertanya sekiranya ada Paskal 2, namun saya tidak boleh janji kalau ada sambungan lagi.

“Bagi bonus pula, saya perlu berbincang dengan pelabur mengenainya,” katanya.

Sehingga hari ini, filem Paskal sudah mencatat kutipan panggung sebanyak RM30.5 juta.

Paskal diterbitkan dengan kos produksi RM10 juta adalah filem tempatan termahal yang pernah dihasilkan.

Filem itu dibintangi Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:01 PM