ARA.
KEMUNCULAN Santesh dapat perhatian ramai.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Aura kumpulan heavy metal XPDC, populariti lagu Amalina nyanyian Santesh serta kemantapan nyanyian Ara Johari menerusi lagu Bunga menjadi tarikan buat penonton membanjiri Dataran Petaling Jaya menyaksikan Konsert Evolusi PJ sempena PJ Fair 2018, baru-baru ini.

Walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa program hiburan di lokasi lain yang turut diadakan secara percuma, acara tahunan edisi keenam anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini berjaya menarik lebih 10,000 peminat pelbagai peringkat usia dan bangsa.

Selain mereka, resipi menggabungkan artis dari pelbagai generasi seperti Akim & The Majistret, W.A.R.I.S, Masya Masyitah dan Uchop Ahmad ternyata membuatkan peminat tidak berganjak menonton konsert yang berjalan dalam suasana santai dan menghiburkan ini dari mula hingga akhir.

Menepati temanya International Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya Antarabangsa), konsert dirasmikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain pada jam 9 malam ini dimulakan dengan persembahan kebudayaan dari sembilan negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah yang menampilkan tarian etnik Melayu, Cina, India, Punjabi, Borneo, Indonesia (Bandung), Jepun (Miyoshi), Korea Selatan (Asan), Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Botswana.

Semua negara ini terbabit di bawah program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organizations (CIOFF) iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa.

Hampir sejam setengah berlangsung, saat yang dinantikan peminat akhirnya tiba apabila penyampai Selangor FM, Ninie menjemput penyanyi Uchop Ahmad tampil membuka pentas menyampaikan dua lagu iaitu Abadi Kasih dan Roman Cinta.

Selepas itu giliran penyanyi remaja yang makin meningkat naik, Masya Masyitah pula tampil menghiburkan peminat menerusi lagu Mawar Terbiar dan Halimunan.

Suasana semakin panas apabila Ninie menjemput Santesh untuk naik ke atas pentas bagi menghiburkan peminatnya.

Bagaimanapun, Santesh terlebih dulu memilih menyanyikan lagu Tamil. Apabila dia menyanyikan intro lagu Amalina, peminat terus bersorak dan memberikan tepukan bergemuruh serta turut sama menyanyikan lagu ini.

Keputusan penganjur meletakkan Akim & The Majistret, Ara, W.A.R.I.S dan XPDC dalam giliran terakhir adalah satu langkah tepat kerana peminat tidak berganjak untuk menunggu sehingga akhir persembahan.

Akim & The Majistret tampil menyanyikan lima lagu iaitu Terlalu Mudah, Rampas, Stereotaip, Obses dan Lara.

Momentum persembahan semakin menarik apabila Ara tampil menyanyikan lagu popularnya Bunga dan diikuti giliran W.A.R.I.S dengan lagu berjudul Lagu Bola dan Gadis Jolobu.


AKIM & The Majistret sampaikan lima lagu.

Menghampiri jam 11 malam, hujan mula turun tetapi peminat terutamanya mar rock masih setia di depan pentas menanti persembahan XPDC.

Tampil memulakan persembahan dengan ucapan berunsur nasihat dan dakwah, Ali serta anggota kumpulannya Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) tidak mahu peminat menunggu terlalu lama apabila menghidangkan rangkaian lagu berjudul Akhir Zaman, Selendang Merdeka, Doa dan Semangat Yang Hilang.

Kemantapan persembahan mereka serta dibantu dengan penataan cahaya yang menarik di pentas ternyata memukau peminat.

Konsert berakhir mengikut jadual pada jam 12 tengah malam dan peminat yang hadir dihadiahkan dengan persembahan bunga api sebagai penutup.


AKIM & The Majistret sampaikan lima lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 10:27 AM