Ezad kini masih dirawat di hospital. FOTO HM Digital/Ihsan Zeana Ramli
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


“EZAD masih terlantar dan ditahan di hospital”.

Begitulah reaksi Zeana Ramli, isteri kepada penyanyi, Ezad Lazim berkongsi khabar suaminya yang masih terlantar di Hospital Putrajaya akibat penyakit Gastroesophageal Reflux Disease (Gerd).

Menurut Zeana, keadaannya lebih stabil namun bacaan paras gula dalam darahnya masih tinggi.

“Daripada apa diberitahu doktor, bacaan paras gulanya masih tinggi dan perlu dikawal,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, setiap kali diberikan makan dan minum, Ezad akan termuntah.

“Kalau diberi makan dan minum, dia muntah. Satu masalah suami saya adalah, dia akan cepat panik bila keadaan ini berlaku dan itu menjadikan penyakitnya bertambah teruk,” katanya.

Menurutnya, dia akan pastikan Ezad lebih berdisiplin dalam memilih makanan selepas ini.

“Dia jenis suka makan. Jadi, selepas ini, saya akan lebih tegas dalam memilih makanan yang sesuai untuknya.

“Selalunya, saya akan masak kerana saya tahu apa yang dia boleh dan tak boleh makan. Kalau makan di luar pun, saya akan pilih makanan yang sesuai,” katanya.

Selain Zeana, Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 39, turut dijaga oleh bekas pengurusnya, Intan.

Intan dihubungi berkata, sekiranya keadaan Ezad lebih stabil, dia akan dibenarkan pulang dalam masa dua hari lagi.

“Doktor beritahu saya, kalau keadaan dia stabil, dia akan dibenarkan pulang dalam masa dua hari. Namun, kalau keadaan sebaliknya, dia perlu terus ditahan,” katanya.

Ezad menghidap kencing manis sejak sebelum berumah tangga manakala penyakit Gerd yang dihadapinya mula dikesan pada 2016.

“Selama dua tahun, kami masih mampu mengawal penyakitnya dan tidak mahu terlalu menguar-uarkan cerita mengenai penyakit ini.

“Saya mohon kepada semua peminat supaya mendoakan kesejahteraan suami saya dan semoga diberi kesembuhan daripada penyakit ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 2:57 PM