Joe akan jayakan persembahan di Hard Rock Cafe pada 9 Disember. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“SAYA dah tempuh dugaan lagi hebat daripada yang berlaku baru-baru ini.

"Pengalaman itu lagi dahsyat, jadi saya tak kisah pun apa yang berlaku.

"Saya sudah tak hairan kerana sebelum ini pernah diduga dengan ujian yang maha hebat," tegas Joe, pengasas dan pemain gitar kumpulan Primed Domestic (kini dikenali sebagai PrimeD).

mengulas kontroversi membabitkan pengunduran tiga anggota kumpulannya.

Ogos lalu, Aweera (penyanyi utama) mengejutkan ramai peminat apabila memberitahu sudah menarik diri daripada PrimeD pada bulan Julai.

Manakala, Hillary Ang (pemain gitar utama) dan Fauzi (bass) pula mengambil keputusan ini terlebih awal lagi tanpa memaklumkan kepada Joe.

Pengunduran mereka menyaksikan PrimeD yang menghasilkan album sulung berjudul Prima Domestika pada tahun lalu kini dianggotai oleh Joe dan Ainol (drum).

Joe berkata, krisis yang berlaku juga menyedarkan dia siapa kawan dan siapa lawan.

"Memang ada pihak-pihak luar yang bertepuk tangan.

"Saya dah tahu tapi saya tak nak terlalu berfikir mengenainya.

"Saya tak boleh elak kalau ada orang yang bersikap demikian," katanya.

Joe berkata, dia mengambil langkah mengecilkan padangnya agar membolehkan dia menumpukan perhatian terhadap PrimeD.

"Biarlah semuanya hijau daripada padang ini tumbuh lalang yang menyakitkan mata," katanya.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 49, tidak mahu menoleh ke belakang apabila bakal menjayakan persembahan solo dinamakan The Best Of Joe yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 9 Disember nanti.

“Saya akan mempersembahkan karya ciptaan sendiri dalam showcase ini

"Saya akan bertindak sebagai teraju utama disamping dua anggota PrimeD iaitu Ainol dan Rozaimi sebagai pemain bass menggantikan tempat Fauzi.

"Saya memilih menampilkan Zul, seorang penyanyi kelab yang dikenali menerusi kumpulan Electric 5 sebagai penyanyi utama, manakala Aidi, pemain keyboard dari kumpulan Soul Statue sebagai penyanyi kedua," katanya.

Persembahan ini mengenakan tiket berharga RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 6:52 PM