KHATY berduet dengan Zamani.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Pelawaan spontan Datuk Khaty agar Zamani terbabit sama dalam Konsert Malam Amal Kaseh Kanser & OKU 2018 ketika menjadi juri Konsert Gegar Vaganza sebelum ini disambut baik penyanyi itu.

Kesungguhan Zamani untuk turut serta berjaya menarik perhatian 1,500 peminat untuk hadir memenuhi Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam yang menjadi lokasi konsert itu berlangsung, baru-baru ini.

Konsert yang turut menampilkan Bagio Damasutra, Ayda Jebat, Fitri Haris, Adi Sixth Sense, Azmira Arif dan Raja Azrey serta Shazli itu mengumpul dana RM350,000 bagi mengisi tabung Yayasan Kaseh Kanser dan OKU.


SHAZLI (kiri) dan Raja Azrey

Selain tetamu kenamaan lain, konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat Menteri Kesihatan Datuk Dzulkefly Ahmad dan isteri.

Pengerusi Malam Amal Kaseh Kanser dan OKU Datuk Abdul Malik Abdullah mengakui amat berpuas hati dengan penganjuran konsert itu yang menepati objektif mereka.

“Walaupun keadaan ekonomi mencabar, penderma tetap berbesar hati terbabit dalam aktiviti amal ini bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Program ini dibuat sebagai lanjutan Malam Amal yang diadakan Yayasan Kaseh Kanser dan OKU pada tahun lalu.

“Insya-Allah Yayasan Kanser dan OKU akan terus mengadakan Malam Amal di masa depan untuk membantu golongan memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial kami,” katanya.


AYDA

Sementara itu, barisan artis yang terbabit pula mempamerkan kehebatan masing-masing apabila mampu berkomunikasi dengan baik dengan penonton serta menampilkan nyanyian yang mantap.

Azmira menyanyikan lagu popularnya Pencinta Setia, manakala Bagio tidak mengecewakan harapan peminat yang mahu menikmati lagu popularnya Umpama Mimpi Dalam Mimpi.

Gandingan Raja Azrey dan Shazli yang pernah menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) pula ternyata berjaya menggeletek hati peminat.

Kemunculan Ayda Jebat juga ditunggu-tunggu dan dia berjaya memuaskan hati peminat menerusi lagu Pencuri Hati, Sesal Separuh Nyawa dan Nakal.

Adi Sixth Sense pula menyanyikan lagu Cinta Mati. Dia seterusnya berduet dengan Aida menerusi lagu Pinjamkan Hatiku.


ADI Sixth Sense

Sudah pastinya kelibat Zamani paling dinantikan dan memilih menyampaikan lagu popularnya Gerimis Mengundang.

Khaty menjadi artis terakhir tampil menghiburkan peminat dengan lagunya Ku Gembira Disampingmu dan Mencintaimu.

Sebelum menutup persembahan dia mengundang Zamani untuk berduet menerusi lagu popularnya Doa Buat Kekasih yang dirakam bersama Datuk Ramli Sarip.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:08 AM