Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

Kira-kira 30 tahun lalu, ketika usia baru menginjak remaja, saya mula tertarik dengan satu band rock dari Los Angeles, Amerika Syarikat iaitu Guns N’ Roses (GNR).

Mereka yang ketika itu baru tampil dengan album sulung, Appetite For Destruction, pantas menarik perhatian saya kerana muzik rock yang diketengahkan berbeza berbanding band rock sedia ada ketika itu. Bagi saya, muzik mereka lebih segar dan paling penting, ‘energetic’!

Bukan itu saja, imej lima anggotanya iaitu Axl Rose (penyanyi), Slash (gitar), Duff McKagan (bass), Izzy Stradlin (gitar) dan Steven Adler (dram) sungguh menarik. Masing-masing ada karakter tersendiri.

Dari situ, saya mula berangan-angan untuk menonton konsert mereka. Dan selepas 30 tahun, angan-angan itu menjadi kenyataan malam Rabu lalu apabila GNR akhirnya tiba di Malaysia mengadakan konsert di Surf Beach Sunway Lagoon, Petaling Jaya. Ia sempena konsert jelajah dunia mereka, Not In This Lifetime yang bermula pada 2016.

Walaupun tanpa dua anggota asalnya iaitu Izzy dan Steven, kehadiran Axl Rose, Slash dan Duff sudah cukup untuk menarik lebih 20,000 peminat GNR memenuhi setiap ruang di Surf Beach. Tiga lagi anggota terkini GNR ialah Richard Fortus (gitar), Frank Ferrer (dram) dan Melissa Reese (keyboard), manakala Dizzy Reed (keyboard) menganggotai GNR sejak 1990.


DUA ikon rock dihormati, Slash dan Axl Rose.

Hujan yang turun sejak petang seolah-olah sinonim dengan lagu popular mereka, November Rain. Malah, penonton tidak berganjak walaupun hampir tiga suku perjalanan konsert berlangsung dalam hujan.

Apa yang pasti, mereka puas!

GNR pernah mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2013 tetapi penonton tidak puas kerana ketika itu, hanya Axl Rose tampil selaku anggota asal. Namun, konsert kali ini begitu dinantikan kerana Axl Rose kembali bergabung dengan Slash dan Duff sejak 1 April 2016.

Kehadiran Slash paling dinantikan kerana sejak pemain gitar handalan ini meninggalkan GNR pada 1996, ramai berharap dia kembali bersama GNR. Dapat melihat aksinya memainkan ‘riff’ dan solo gitar ‘original’ lagu-lagu berhantu GNR sungguh mengujakan.


KEHADIRAN Slash sentiasa dinantikan.

Tanpa sebarang bicara, GNR memulakan persembahan dengan dua lagu daripada album sulung mereka iaitu It’s So Easy dan Mr Brownstone serta lagu daripada album terbaru, Chinese Democracy.

Ketika hujan makin lebat, GNR membuatkan penonton tidak senang duduk dengan lagu Welcome To The Jungle yang juga single pertama mereka pada 1987.

Pada usia 56 tahun, Axl Rose bukan lagi penyanyi yang dikenali dengan pelbagai ‘note’ dan ‘range’ vokal seperti dulu. Tidak dinafi kualiti vokalnya semakin berkurangan, namun auranya masih kukuh.

Kredibiliti Axl Rose sebagai antara penyanyi rock terhebat, paling kontroversi dan mungkin angkuh, tidak pernah hilang. Dia tetap begitu dan kita kena menerimanya.


AXL Rose tetap tersendiri.

Dalam konsert ini, dia tidak perlu banyak berkomunikasi dengan penonton. Ini kerana kehadirannya di atas pentas saja sudah cukup buat penonton puas.

Apa yang pasti, Slash adalah yang paling dinantikan peminat mereka di sini. Selain handal, Slash memiliki imej yang ringkas tetapi cukup kuat. Dapat menyaksikan sendiri Slash memainkan solo gitar ‘berhantu’ seperti lagu November Rain, Estranged, Knockin’ On Heaven’s Door, Paradise City, Rocket Queen dan Civil War adalah ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Dalam konsert berdurasi hampir tiga jam itu, GNR mempersembahkan 30 lagu antaranya Sweet Child O’Mine, Double Talkin’ Jive, Better, You Could Be Mine, This I Love, Coma, Nightrain, Patience, Don’t Cry dan Paradise City.


DUFF turut menyanyikan lagu berjudul Attitude.

Mereka juga membawakan lagu-lagu ‘cover’ seperti Live and Let Die (Wings), Slither (Velvet Revolver), Attitude (The Misfits), You Can’t Put Your Arms Around Me (Johnny Thunders), Speak Softly Love (Nino Rota), Wichita Lineman (Jimmy Webb), Wish You Were Here (Pink Floyd), Black Hole Sun (Soundgarden) dan The Seeker (The Who).

Selain konsert di sini yang dibawa oleh Galaxy Group, di Asia Tenggara GNR juga mengadakan konsert di Jakarta dan Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 7:03 AM