Sarah (kiri) akui rapat dengan Andi. FOTO fail HM Digital
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


BINTANG juara program realiti Big Stage, Sarah Suhairi mengakui lebih akrab dengan penyanyi baru, Andi Bernadee berbanding Ismail Izzani yang dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengannya.

Sebelum ini, keakraban antara Sarah dan Andi mendapat perhatian peminat hingga timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka kerana mahukan Sarah bersama Ismail.

Tambahan pula duet antara Sarah dan Ismail, mendendangkan You Are The Reason di program Big Stage ditonton hampir dua juta orang di You Tube membuatkan ramai peminat mengharapkan Sarah dan Ismail benar-benar bercinta.

Ada antara peminat memberikan komen dan mengaitkan nama Ismail apabila Andi mahupun Sarah memuat naik video mahupun gambar setiap kali keluar bersama.

Ditemui, hari ini, Sarah bagaimana pun menegaskan bahawa Ismail dan Andi berupa rakan baiknya apatah lagi mereka mempunyai karakter yang sama iaitu ‘gila-gila’ dan ‘selamba’.

“Bagaimanapun jujur cakap, persahabatan terjalin antara saya dengan mereka langsung tidak membabitkan soal hati dan perasaan. Soal cinta langsung tidak wujud. Kami memang betul-betul kawan” katanya.

Jelas Sarah dia menjadi rapat dengan Andi kerana mereka sama-sama menyertai program Big Stage.

“Kalau hendak diikutkan saya rapat juga dengan penyanyi lain di Big Stage seperti Ariff Bahran dan Afieq Syazwan. Mungkin sikap saya yang ramah dan mudah didekati menyebabkan kami tidak ada masalah berkawan rapat.

“Cuma dengan Andi, dia rajin ajak saya keluar untuk jalan jalan cari makan kedai atau restoran yang sedap. Dia banyak tahu tempat makan sedap di Kuala Lumpur ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 6:40 PM