Adam nafi hubungan cinta dengan Sweet Qismina. FOTO SCM
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Adam Lee menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia dan aktres Sweet Qismina menjalin hubungan cinta.

Adam ketika dihubungi Harian Metro berkata, antara mereka hanya berkawan biasa.

"Saya dan Sweet memang ada keluar makan dan lepak bersama. Ibu Sweet juga sedia maklum mengenai perkara ini.

"Namun pertemuan kami bukan sebagai pasangan kekasih tetapi kami hanya berkawan dan tiada hubungan istimewa.

"Bagi saya, tak salah rasanya untuk kami kenal-kenal dulu. Lagipun saya selesa berkawan dengannya ketika kami menjalani penggambaran dalam drama terbaru Adam Chempaka untuk siaran TV3," katanya.

Menurut Adam, dia belum ada sebarang perancangan untuk bercinta sebaliknya mahu fokus mengukuhkan nama dalam industri seni lakonan.

"Buat masa ini, saya nak fokus dengan kerja dulu dan tidak mahu terburu-buru untuk bercinta.

"Prioriti saya adalah untuk membina nama dan memastikan kerjaya seni saya berjalan dengan baik," katanya.

Terdahulu timbul khabar angin yang mengatakan pasangan ini sedang hangat bercinta apabila mereka kerap berjumpa hingga ada foto mereka makan di sebuah gerai yang dimuat naik akaun Instagram gerai terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 3:12 PM