CHARLIE Puth menghiburkan penonton menerusi lebih 15 lagi dipersembahkan bersama kugirannya. FOTO Georgie Joseph.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BINTANG pop Amerika Syarikat (AS), Charlie Puth berjaya menghiburkan lebih 6,000 penonton pada konsert Charlie Puth Voicenotes Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.

Penyanyi berusia 26 tahun itu tampil dengan persembahan bertenaga selain vokalnya memukau menerusi lebih 15 lagu yang dipersembahkannya.

Penyanyi We Don’t Talk Anymore berkenaan jelas begitu teruja hadir pertama kali ke Malaysia dan terharu dengan sokongan luar biasa peminatnya di sini.

“Saya sangat berbesar hati bertandang pertama kali ke sini dan membuat persembahan untuk kamu semua malam ini. Saya harap kamu akan menikmatinya dan terhibur.

“Saya ada memantau kamu di Instagram sebelum datang ke sini. Seronoknya dapat bertemu kamu depan-depan akhirnya pada hari ini,” katanya.

Charlie tampil bersahaja dengan iringan kugiran atas pentas yang sederhana. Dia sempat menunjukkan kehebatannya bermain piano menerusi beberapa lagu termasuk Suffer.

Pada konsert itu, Charlie mempersembahkan lagu The Way I Am, Slow It Down, How Long, Empty Cups, LA Girls, Marvin Gaye, Patient, Change dan We Don’t Talk Anymore.

Tidak ketinggalan, turut dinyanyikan adalah lagu Somebody Told Me, Done For Me, Suffer, One Call Away, Attention, Boy dan persembahan ditutup dengan lagu See You Again.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:15 PM