SYJ Pewaris Generasi terus memperjuangkan muzik rock.
Nazrul Azuad
am@hmetro.com.my


PEMINAT tegar muzik rock di Perak terutama di sekitar Ipoh berpeluang menyaksikan persembahan band rock SYJ Pewaris Generasi, Giegiel dan Sparrow dalam Show Heavy Rock Nite Vol III di Ladybos Studio, Ipoh, Sabtu ini.

Persembahan anjuran Mentari Merah Entertainment bermula jam 8.45 malam itu bakal mengembalikan zaman kegemilangan ‘rock kapak’ pada era 1980-an dengan persembahan hebat mereka.

Penganjur, Mohamed Noor Mustapha berkata, persembahan itu adalah kesinambungan daripada siri Show Heavy Rock Nite yang kini memasuki edisi ketiganya.

“Ia bertujuan menghidupkan kembali konsert berbayar apabila peminat hadir secara sukarela untuk menyaksikan kumpulan kegemaran mereka,” katanya.


GIEGIEL sudah hasilkan dua album.

Walaupun tidak mendapat sebarang penajaan, Mohamed Noor yakin dengan pelaburan yang dibuat bagi menjayakan persembahan itu nanti.

“Saya lakukan semua ini kerana minat mendalam terhadap muzik rock. Ia mempunyai energi dan peminat tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, SYJ Pewaris Generasi yang kini dianggotai Alang (penyanyi), Jay (gitar), Marnsuria (gitar), Wan (bass) dan Pudie (dram) kembali selepas 10 tahun menyepi.

Alang berkata, mereka kembali aktif sejak beberapa bulan lalu dan kini bergerak di bawah syarikat SYJ Band Production.

“Kami juga bakal tampil dengan album terbaharu berjudul Pewaris Generasi tidak lama lagi. Album memuatkan enam lagu itu masih mengekalkan genre rock walaupun imej dan pendekatan muzik ditampilkan berbeza berbanding sebelum ini.


GIEGIEL sudah hasilkan dua album.

“Kami sedia bereksperimen dengan haluan gelombang muzik rock baru termasuk mengetengahkan genre progresif rock menerusi lagu Pewaris Generasi,” katanya.

Giegiel yang ditubuhkan pada 1999 adalah seangkatan dengan kumpulan rock seperti Jinbara dan Baji.

Sepanjang aktif memperjuangkan muzik rock, Giegiel merakamkan dua album iaitu Giegiel (2001) dan yang terakhir pada 2005 berjudul Eksklusif.

Selain Giegiel dan SYJ Pewaris Generasi, kumpulan heavy metal dari Ipoh, Sparrow turut membuat persembahan pada malam itu.

Sparrow yang dianggotai Nan (penyanyi), Ayie (gitar), Chor (dram), R’man (bass) dan Pyan (gitar) sudah menghasilkan album mini dan bakal membawakan lagu mereka seperti Hasutan serta Nafsu Hati.

Turut membuat persembahan ialah kumpulan Hakikat yang dianggotai Rosly (penyanyi), Faizal (gitar), Wujang (gitar), Mamat (bass) dan Zam (dram).

Maklumat mengenai tiket berharga RM30 boleh menghubungi 017-5787778 (Nan) atau 019-2407994 (MM).


HAKIKAT

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:01 AM