Raja Mukhriz. FOTO HM Digital
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


"SAYA terkejut dan mampu tersenyum," kata pengarah filem Tujuh, Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin saat melihat sambutan positif dari peminat sejak empat hari lalu.

Malahan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, kebanyakkan peminat berkongsi maklum balas positif selepas menonton.

"Saya terkejut dengan sambutan penonton ditambah pula dengan persaingan beberapa filem luar, sejak Khamis lalu.

"Dari apa yang saya lihat, ada panggung yang penuh dan separa penuh, ia satu petanda yang sangat baik walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Raja Mukhriz akui sesi promosi berterusan oleh penerbit, Primeworks Studio dan artis terbabit di laman sosial dan aktiviti 'movie day out' banyak membantu merancakkan permintaan filem Tujuh di pawagam tempatan.

Pengarah itu turut mendedahkan mendapat maklum balas positif daripada peminat bukan Melayu di beberapa pawagam luar Lembah Klang antaranya di Pulau Pinang dan Sarawak.

Katanya, pawagam di Miri saja sudah menambah ke enam tayangan dek adanya pertembahan permintaan dari penonton.

"Malah, sejak dua hari lalu, ada penambahan dari tiga ke empat pawagam tempatan yang mahu menayangkan Tujuh.

"Saya juga mendapat permintaan dari Singapura yang inginkan artis dan pasukan produksi Tujuh turun ke negara mereka untuk sesi promosi," katanya.

Filem Tujuh yang mula ditayangkan sejak 8 November lalu dibarisi pelakon hebat tempatan antaranya Marsha Milan Londoh, Aeril Zafril, Johan As'ari, Siti Saleha, Christina Suzanne, Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 7:29 PM